Bertindak berdasarkan aduan orang awam, sebuah klinik sakit puan milik doktor terkenal telah diserbu untuk melakukan pemeriksaan. Premis milik Dr Hamid Arshat disyaki memiliki produk kesihatan yang tidak berdaftar dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Terkilan dengan layanan kasar yang diberikan kakitangan kesihatan, doktor Hamid meluahkan kekecewaan di laman Facebook miliknya. Namun, KKM menerusi sebuah kenyataan akhbar memberi penjelasan lanjut mengenai pemeriksaan yang dibuat.
Terkilan dengan layanan kasar
SUNGGUH MENYEDIHKAN PEJABAT SAYA DISERBU.
Hari rabu 2 hb October, sekumpulan kaki tangan KKM datang menyerbu dan selongkar pejabat Saya di 75m, Plaza Damansara. Tanpa notis dan tanpa jelas apa tujuan, mereka datang dengan mengejut seolah-olah saya seorang penjenayah. Pada hal saya telah berkhidmat sebagai doktor hampir 50 tahun dan sebagai pakar bidan selama 43 tahun.
Pada tahun 70an dan 80an saya dan rakan-rakan doktor telah bersama-sama berkhidmat secara bertungkus lumus untuk memberi rawatan dan jagaan kepada pesakit-pesakit tanpa mengira masa dan gaji. Pernah kerja selama 72 jam berturut-turut. Dengan gaji RM 600 sebulan.
Saya rasa amat terkilan dengan layanan dan tindakan kasar kakitangan-kakitangan muda yang semacam gila kuasa.
Ketika serbuan pejabat, saya berada diklinik di Taman Desa Medical Centre melayan berpuluh-puluh pesakit. Apa salahnya kalau pihak berkuasa hubungi saya dulu dan nyatakan apa kesalahan yang saya buat sebelum menyerbu dan selongkar pejabat saya di Plaza 75m Bukit Damansara. Akhir mereka pergi dengan keadaan pejabat kucar kacir dan tidak mendapati apa-apa bukti kesalahan saya. Sungguh menyedihkan dengan tindakan kasar ke atas pejabat dan staff saya. Kakitangan yang bertindak belum lahir kedunia lagi, saya telah berkhidmat dengan KKM.
Penjelasan KKM
Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya melalui Cawangan Penguatkuasaan Farmasi, Bahagian Perkhidmatan Farmasi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya telah menjalankan satu pemeriksaan ke atas sebuah premis iaitu DHA Healthcare Enterprise di Bukit Damansara, Kuala Lumpur.
– Pemeriksaan ini dijalankan berdasarkan aduan awam yang diterima berkenaan premis tersebut kerana disyaki memiliki produk kesihatan yang tidak berdaftar dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
– Pemeriksaan oleh anggota penguatkuasa telah dijalankan mengikut prosedur dan standard yang telah ditetapkan oleh KKM, iaitu bersandarkan peruntukan undang-undang yang dikuatkuasakan.
– Sebelum pemeriksaan dijalankan, siasatan awal mendapati premis tersebut telah disahkan memiliki dan menjual produk sasaran berdasarkan belian percubaan (test buy) berserta resit bayaran.
– Produk tersebut didapati tiada lagi di premis ketika pemeriksaan dijalankan, bahan iklan berbentuk risalah produk tidak berdaftar tersebut telah ditemui di premis terbabit.
Memiliki atau menjual produk tidak berdaftar
– Pemeriksaan tersebut telah dijalankan dengan penuh berhemah dan beretika serta dalam keadaan yang tenang. Tidak berlaku sebarang kucar-kacir atau kekasaran seperti yang dilaporkan di media sosial.
– Adalah dimaklumkan juga, premis ini merupakan sebuah fasiliti yang dimiliki oleh seorang doktor sakit puan di Malaysia. Namun begitu, fasiliti tersebut tidak pernah berlesen dengan Cawangan Kawalan Amalan Perubatan Swasta (CKAPS) KKM sejak penubuhannya.
– Banyak perbincangan dan usaha oleh CKAPS untuk memudahcara perlesenan premis ini, namun pemilik masih tidak dapat memenuhi syor yang diberi supaya ianya dapat dilesenkan sebagai fasiliti kesihatan swasta berlesen yang sah. Oleh itu, pada 26 Februari 2016, CKAPS telah mengeluarkan satu surat arahan supaya premis ini menghentikan operasi perkhidmatan kesihatan.
– Memiliki atau menjual produk kesihatan yang tidak berdaftar dengan KKM adalah merupakan pelanggaran di bawah Peraturan 7(1)(a), PeraturanPeraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 dan ianya boleh dihukum di bawah Seksyen 12(2) Akta Jualan Dadah 1952 yang mana jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya.
Sumber : Public Health Malaysia , Dr Hamid Arshat