berita

‘Ini Soal Nyawa!’ – Pesakit Dibedah Kerana Disyaki Mengandung Luar Rahim, Pakar O&G Beri Penjelasan

November 12th, 2019 | by Arini Saleh
Kini Trending

Beberapa hari lepas, viral status seorang lelaki yang menceritakan pengalaman isteri terpaksa dibedah kerana disyaki mengandung luar rahim. Menurutnya, kesan daripada pembedahan tersebut isteri kehilangan bayi yang ditunggu mereka hampir setahun.

Menjelaskan kekeliruan yang timbul, Pakar Obstetrik dan Ginekologi Dr Anna Liza Roslani di Facebook menerangkan bahaya kandungan luar rahim dan mengapa pesakit perlu dibedah.

Jelaskan tohmahan

(Sekadar gambar hiasan)

Mula-mula sekali, saya ingin nyatakan yang saya tidak ada perkaitan langsung mahupun tidak langsung dengan kes yang diperkatakan.

Tetapi, sebagai Pakar Obstetrik dan Ginekologi selama 16 tahun, saya terpanggil untuk menjelaskan beberapa tomahan yang dibuat oleh penulis serta netizen-netizen dalan ruangan komen.

Saya amat bersimpati dengan peristiwa yang berlaku terhadap pesakit. Beliau terpaksa melalui ‘diagnostic laparoscopy’, kemudian laparotomy (bukan Caesarean, seperti apa yang dikatakan penulis!) dan seterusnya mengalami keguguran.

1. Mengapa doktor pakar O&G telah syak pesakit mengalami kandungan luar rahim?

Menurut pesakit, dia telah tidak datang haid selama lebih kurang 7 minggu. Oleh itu, anggaran usia kandungan ialah 7 minggu. Lazimnya, jika kandungan yang sihat dan terletak di dalam rahim, sepatutnya `kantung kehamilan’ (Gestational Sac) sudah kelihatan pada usia 5 minggu kehamilan. Janin pula akan kelihatan pada usia 6 minggu kehamilan. Jika doktor tidak dapat melihat/mengesahkan kehamilan melalui ultrasound, ada kemungkinan bahawa usia kandungan adalah tidak tepat. Mungkin usia kandungan itu baru 4 minggu.

Untuk membezakan antara sama ada kandungan ini adalah salah usianya, atau kandungan luar rahim, doktor akan melakukan ujian darah serum Beta HCG. Jika Beta HCG melebihi 1500mIU/mL dan kandungan berada di dalam rahim, sepatutnya gestational sac (GS) sudah kelihatan di dalam rahim. Jika masih tidak kelihatan, tindakan seterusnya ialah mengulangi ujian Beta HCG selepas 48 jam (2 hari). Dalam masa 48 jam, jika kandungan masih sihat, Beta HCG akan meningkat sekurang-kurangnya 66%. Jika ia tidak meningkat sebanyak itu, dan kandungan masih tidak kelihatan, ini bermaksud sama ada ia adalah kandungan luar rahim atau keguguran.

Dalam kes ini, penulis mengatakan bahawa Beta HCG 10000mIU/mL. Nilai ni jauh melebihi nilai 1500mIU/mL yang saya perkatakan tadi. Oleh itu, memang sepatutnya, GS sudah kelihatan jika kandungan itu normal. Oleh sebab GS masih tidak kelihatan, sudah sememangnya diagnosa adalah berat kearah kandungan luar rahim.

Kandungan luar rahim sangat bahaya

(Sekadar gambar hiasan)

2. Kandungan luar rahim (ectopic pregnancy) ialah sangat merbahaya.

Seorang wanita yang mengalami kandungan luar rahim boleh meninggal dalam sekelip mata, disebabkan pendarahan. Pendarahan ini tidak semestinya kita nampak di faraj, tetapi kebanyakkan pendarahan akan berlaku di dalam pelvis dan abdomen. Oleh itu, tidak hairanlah jika doktor-doktor yang mengendalikan kes yang disyaki kandungan luar rahim akan menguruskan pembedahan dengan tegas dan cepat. Kami bukan nak menakut-nakutkan pesakit, tetapi kami perlu menegaskan tahap bahaya kandungan luar rahim kepada pesakit. Ini soal nyawa! Memang wajarlah jika pesakit dikejutkan tengah-tengah malam atau awal pagi!

3. Kenapa Pemeriksaan Laparoscopy di buat?

Pemeriksaan laparoscopy dilakukan pada mulanya untuk mengesahkan sama ada kandungan ini kandungan luar rahim atau tidak. Jika kandungan luar rahim masih kecil, kadangkala ia tidak dapat dilihat menerusi ultrasound. Oleh itu, doktor perlu `mencari’ kandungan luar rahim melalui laparoscopy. Perlu diingatkan juga, kandungan luar rahim, bukan setakat berada di dalam salur fallopian. Kadangkala, ia melekat pada kilang telur (ovarian ectopic). Kadangkala ia melekat di atas usus, di atas hati, di atas salur darah aorta pun ada!! Dalam kes ini, apabila laparoscopy di jalankan, doktor mungkin nampak salur fallopian tiada kandungan luar rahim. Tetapi di bahagian kilang telur (ovary), ternampak ada bonjolan atau ketumbuhan. Mungkinkah ia Ovarian ectopic? Doktor pun mengambil keputusan untuk (mungkin) buang atau toreh bonjolan itu. Apabila torehan dibuat, barulah dia mengetahui bahawa ia bukan ovarian ectopic. Mungkin corpus luteal cyst semata-mata.

Pembedahan yang dibuat bukan c-sec

(Sekadar gambar hiasan)

4. Pembedahan di bahagian abdomen yang dilakukan oleh doktor tersebut BUKAN pembedahan Caesarean section.

Pembedahan Caesarean adalah pembedahan khusus untuk melahirkan bayi yang berada di dalam rahim pada usia kandungan melebihi 24 minggu. Pembedahan Caesarean dilakukan dengan torehan ke atas dinding rahim. Jika dinding rahim tidak ditoreh, ia bukan pembedahan Caesarean. Pembedahan yang dilakukan di bahagian abdomen dipanggil laparotomy. Itulah apa yang dimaksudkan oleh doktor itu yang mengatakan `Saya belah kat kulit je’. Apa yang doktor itu maksudkan, dia tidak bedah rahim. Tetapi memang salah doktor itu kerana tidak menerangkan dengan lebih tepat kepada suami pesakit. Jika seorang wanita hanya mengalami pembedahan laparotomy (dan bukan Caesarean section), tiada masalah untuk kehamilan akan dating. Dia tidak ada risiko untuk rahim pecah. Dia tidak perlu menjarakkan kehamilan yang akan dating (selain daripada untuk kesihatannya sendiri dan untuk dia mengambil folic acid selama 3 bulan sebelum kehamilan seterusnya.)

Saya sangat memahami perasaan pesakit dan juga suaminya, yang terpaksa mengharungi dugaan ini. Tetapi saya meminta dengan semua netizen untuk jangan terlalu cepat untuk memberi pendapat (ada yang memberi hujaj-hujah berkenaan Beta HCG yang mengalahkan doktor pakar!!!!!). Biarlah siasatan dilakukan oleh pihak hospital, dan jika perlu kementerian kesihatan. Jangan menghukum jika anda sendiri bukan ahli atau pakar dalam bidang ini. Walaupun sesuatu `outcome’ adalah buruk, ia tidak semestinya disebabkan kecuaian.

Dr Anna Liza Roslani
Pakar Obstetrik & Ginekologi

Sumber : Anna Liza Roslani

The following two tabs change content below.

SKIP THIS AD ×