Kumpulan wanita, Dolla kembali menggegarkan industri muzik menerusi single terbaharu berjudul G.O.A.T selepas lapan bulan menyepi daripada pelancaran lagu baharu.

Artikel Berkaitan: Angel Tak Sengaja ‘Leak’ Lagu Baru Dolla, Syarikat Rakaman Kecewa?

Artikel Berkaitan: Dolla Pilih Tidak Rakam Semula Muzik Video ‘Question’, Peminat Luar Negara Masih Boleh Tonton

Dolla kembali

Karya terbaru ini menyaksikan kolaborasi sulung mereka bersama bintang hip hop terkenal Thailand, F.Hero, sekali gus membuka lembaran baharu dalam perjalanan seni kumpulan itu di peringkat Asia Tenggara.

Lagu G.O.A.T diterbitkan oleh penulis lagu dan penerbit dari Norway, Audun Agnar Guldbrandsen yang pernah menghasilkan beberapa lagu hit antarabangsa termasuk ‘I AM’ dan ‘Kitsch’ nyanyian kumpulan K-pop, IVE.

Lagu ini mengetengahkan mesej mengenai keyakinan diri, keberanian menjadi diri sendiri serta semangat untuk bangkit mengatasi segala keraguan.

Kolaborasi bersama F.Hero turut menjadi langkah penting buat Dolla dalam memperluaskan pengaruh mereka ke pasaran muzik Thailand yang terkenal dengan perkembangan industri hiburan yang pesat. Kehadiran penyanyi rap berkenaan yang cukup dikenali menerusi gaya penyampaian penuh karisma berjaya menggabungkan elemen pop Malaysia dan hip hop Thailand dalam sebuah karya yang segar.

Menurut Dolla, kerjasama bersama F.Hero memberikan pengalaman yang cukup berbeza memandangkan mereka tidak pernah membayangkan akan bergandingan dengan penyanyi itu sebelum ini.

Kami sangat teruja dapat bekerjasama dengan F.Hero kerana dia ada gaya yang cukup berani dan penuh tenaga. Itulah juga arah yang ingin kami tonjolkan menerusi G.O.A.T.

Sebagai kumpulan wanita, vokal kami sememangnya lebih lembut dan feminin, manakala F.Hero pula membawa aura yang lebih garang serta berkarisma. Gabungan itu menjadikan lagu ini lebih dinamik dan memberikan warna yang berbeza.

Dari segi visual pula, Dolla tampil dengan imej yang jauh lebih matang, berani dan ‘edgy’ berbanding era sebelumnya.

Meninggalkan konsep glamor yang sinonim dengan mereka, kumpulan itu kini mempertaruhkan penampilan lebih gelap serta berkarakter, selari dengan semangat memberontak yang dibawakan menerusi lagu tersebut.

G.O.A.T tentang keyakinan yang lahir daripada segala usaha, cabaran dan pengalaman yang telah kami lalui. Era ini benar-benar menggambarkan siapa kami hari ini, sama ada sebagai individu mahupun sebagai Dolla.

Kami mahu menampilkan sisi yang lebih matang, lebih berani dan sedikit lebih garang. Inilah versi diri kami yang lebih yakin serta tidak takut untuk menyerlah.

Dengan gabungan produksi bertaraf antarabangsa, kolaborasi bersama artis terkenal Thailand serta konsep visual yang lebih berani, G.O.A.T dijangka menjadi antara karya paling menonjol dalam katalog muzik Dolla setakat ini.

Di samping itu, Dolla memberi bayangan bahawa era baharu mereka baru sahaja bermula dan peminat boleh menjangkakan lebih banyak kejutan selepas ini.

Ini merupakan era yang kami sangat teruja untuk teruskan. Banyak persembahan, konsep menarik dan muzik baharu sedang menanti peminat. Antara perkara yang paling kami nantikan ialah persembahan kami di Paris pada Oktober depan, yang pastinya menjadi satu lagi pencapaian besar buat Dolla.

Single G.O.A.T kini boleh distrim di semua platform penstriman muzik utama.