
Selepas terlibat dalam enam projek filem sejak 2023, pengasas Xing Yu Group dan VYBE, Dr Kervis Soo, kini meneruskan langkahnya dalam industri kreatif menerusi filem terbaharu, penerbitan muzik dan pembangunan bakat baharu.
Antara projek terkininya ialah filem The Day We Start Again yang kini memasuki fasa akhir penggambaran dan disasarkan untuk tayangan pada 2027.
Cerita pengalaman hidup – Dr Kervis Soo

Menariknya, karya berkenaan bukan sekadar sebuah projek perfileman buat usahawan berusia 34 tahun itu, malah turut mengambil inspirasi daripada pengalaman hidupnya sendiri ketika mengharungi cabaran perniagaan, memulakan semula kehidupan dan memahami nilai hubungan sesama manusia.
Filem yang diterbitkan oleh Lomo Pictures dengan Xing Yu Group dan VYBE sebagai pembentang bersama itu turut menyaksikan Kervis memainkan peranan dalam pembiayaan, perancangan projek serta pembangunan skrip.
Barisan pelakonnya merangkumi K Lou, Bruce Chiu, Charlene An Yu Chin, Leonard Lee, Yuan Teng dan Kyo Chen.
Penggambaran dijalankan dengan perancangan melibatkan Kuala Lumpur dan Kluang, Johor, iaitu bandar tempat Kervis membesar.
Selain The Day We Start Again, antara filem lain yang pernah melibatkan Kervis dan syarikat berkaitan ialah Indera, The Missing Child, Blooms of Happiness, Kungfu Juniors dan Mad Mad World.
Filem Indera arahan Woo Ming Jin yang menampilkan Shaheizy Sam dan Azira Shafinaz turut menerima pelaburan daripadanya.
Tidak terhad kepada bidang perfileman, Kervis turut mengembangkan penglibatannya dalam industri hiburan menerusi pelancaran VYBE Ai SHOW Talent Competition.
Pertandingan itu membawa makna tersendiri buat dirinya kerana beliau pernah menyertai pertandingan bakat Ai Show ketika bersekolah di Sekolah Menengah Chong Hwa Kluang pada 2009.
Ketika itu, Kervis mengetuai sebuah kumpulan muzik untuk menyertai pertandingan berkenaan.
Kini, selepas 17 tahun, beliau kembali dengan hasrat membuka ruang kepada bakat baharu untuk menunjukkan kemampuan masing-masing menerusi platform yang merangkumi enam kategori iaitu nyanyian, tarian, alat muzik, rap, bakat pelbagai dan video pendek kreatif.
Bagi menarik penyertaan, penganjur turut menyediakan pelbagai ganjaran termasuk sebuah kenderaan elektrik yang dinilai pada RM99,800, peluang melancong ke Maldives serta hadiah VYBE GOLD.
Dalam perkembangan lain, Kervis turut menghasilkan dua lagu asli berjudul The Day We Start Again dan After Waking Up.
Beliau juga menerbitkan buku sulung menggunakan judul The Day We Start Again, dengan bahan media memaklumkan bahawa sebanyak 1,005 naskhah cetakan pertama telah habis dijual.
Pulang ke kampung halaman untuk hargai insan penting

Di sebalik perkembangan dalam bidang keusahawanan dan kreatif, Kervis bakal kembali ke Kluang pada 13 November ini bagi mengadakan sebuah majlis penghargaan khas di Kluang De Jiao Hui Zi Luan Ge.
Acara secara jemputan itu akan menghimpunkan ahli keluarga, guru, sahabat lama serta rakan industri yang memainkan peranan penting dalam perjalanan hidup dan kerjayanya.
Bagi Kervis, kepulangan tersebut bukan hanya tentang memperkenalkan hasil kerja terbaharunya, tetapi juga peluang untuk menghargai mereka yang menjadi sebahagian daripada perjalanan panjangnya.
Dengan kira-kira 20 tahun pengalaman dalam keusahawanan internet dan pengurusan komuniti, perjalanan Kervis bermula menerusi pembangunan Blue Sky Forum pada 2006 sebelum berkembang ke bidang perfileman, kecerdasan buatan (AI) dan industri pencipta kandungan.
Sepanjang tujuh tahun lalu, perniagaan serta jenama di bawah kumpulannya turut berkembang ke beberapa cabang industri kreatif.








![[VIDEO] Diva M Hadiah Kereta RM100,000 Kepada Pekerja Setia](https://asset.ohbulan.com/2026/10/diva-M-4.jpg)