berita

Edar Ganja, Pelakon Drama & Tiga Rakan Berdepan Hukuman Mati

March 8th, 2023 | by Zulaikha
Kini Trending

Gambar sekadar hiasan

Pelakon drama, Said Muhammad Ismail Said Pakir bersama tiga lagi tertuduh, H S Sarvinder Singh, Muhammad Amir Hafiz Zamani dan Delson Dean Samson Akmal berdepan hukuman mati sekiranya didapati bersalah atas pertuduhan mengedar dadah jenis ganja.

Artikel Berkaitan: Edar Dadah Dalam Minuman, Suami Isteri Berdepan Hukuman Mati

Tunggu laporan kimia

Gambar sekadar hiasan

Memetik laporan Harian Metro, Mahkamah Majistret menetapkan 31 Mac nanti bagi mengetahui laporan kimia terhadap pertuduhan mengedar dadah jenis ganja dihadapi pelakon itu dan tiga rakannya.

Majistret Wong Chai Sia membuat keputusan itu selepas dimaklumkan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Sareeka Balakrishnan bahawa laporan itu masih belum diterima.

Dalam prosiding hari ini, tiga tertuduh iaitu Said Muhammad Ismail, Muhammad Amir Hafiz dan Delson Dean diwakili peguam, Mohamaed Ashmeer Ashrof, manakala Savinder Singh diwakili peguam Shastidaran Sathaiseelan.

Said Muhammad Ismail adalah pemilik kedai vape, manakala Savinder Singh serta Delson Dean bekerja di kedai vape berkenaan dan Muhammad Amir Hafiz pula penjual burger.

Terdahulu, pelakon terbabit, Said Muhammad Ismail Said Pakir, 29, dan tiga lagi tertuduh, H S Sarvinder Singh, 23, Muhammad Amir Hafiz Zamani, 30, dan Delson Dean Samson Akmal, 26, didakwa pada 10 Januari lalu.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada mereka selepas pertuduhan dibacakan di hadapan majistret berkenaan kerana kes membabitkan hukuman mati berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan, semua tertuduh secara bersama mengedar ganja seberat 494 gram di Jalan Klang Lama, Brickfields di sini, jam 9.34 malam pada 3 Januari lalu mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Mereka boleh dihukum mengikut Seksyen 39B (2) akta sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang boleh dikenakan hukuman mati atau dikenakan sebatan minimum sembilan kali dan penjara seumur hidup jika sabit kesalahan.

Sebelum ini, media melaporkan empat lelaki ditahan selepas dipercayai menjual ganja dalam bentuk cecair rokok elektronik atau ‘vape’ dalam serbuan di sebuah premis di Jalan Klang Lama pada 3 Januari lalu.

Sumber: Harian Metro

SKIP THIS AD ×