berita

Ejen Ali Beri Penghargaan Buat Frontliner Dalam ‘Misi: Juang’, Ada Penampilan Khas Dr Noor Hisham!

December 24th, 2020 | by Shafika
Shout Out!

Semua sedia maklum, Ejen Ali antara animasi yang mempunyai pengikutnya tersendiri. Sebelum ini, Ejen Ali The Movie pernah pecah panggung dengan mencipta rekod kutipan box office pada November 2019. Malah, bersempena kejayaan kempen Ejen Ali #KitaJagaKita, Primeworks Studios dan WAU Animation telah bergabung sekali lagi untuk menerbitkan filem pendek pertama Ejen Ali berjudul Misi: Juang.

Filem pendek ini akan ditayangkan pada 25 Disember 2020  jam 9.45 malam menerusi saluran YouTube rasmi Ejen Ali. Apa yang menariknya Misi: Juang ini adalah didedikasikan khas untuk petugas barisan hadapan, sebagai penghargaan atas kecekalan dan keberanian mereka dalam memerangi penularan pandemik COVID-19.

Misi : Juang untuk frontliner

Misi: Juang menampilkan usaha Ejen MATA dan rakyat yang bergabung bersama-sama petugas barisan hadapan di medan perang untuk melawan angkatan tentera COVID-19 yang mengancam nyawa. Mengetengahkan rendisi baru lagu tema #KitaJagaKita, filem pendek ini menjadi lebih menarik dengan penampilan khas Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah yang membawa watak kameo untuk bergabung tenaga dengan Ejen MATA di medan pertempuran.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif WAU Animation, Usamah Zaid Yasin, setiap hari petugas barisan hadapan berada di medan perang melawan musuh yang tidak dapat dilihat.

Dengan peningkatan jumlah kes positif setiap hari, kami ingin menyeru semua Ejen diluar sana untuk turut serta dengan Misi: Juang menzahirkan rasa terima kasih dan menunjukkan penghargaan atas usaha dan pengorbanan mereka.

Hendaklah sentiasa berwaspada, mempraktikkan dan mengikuti protokol keselamatan supaya bersama-sama kita memastikan pengorbanan barisan hadapan tidak sia-sia.

Tambahnya lagi, tahun 2020 sangat memberi cabaran dan pelbagai dugaan kepada semua orang dan dia berharap agar dunia kembali pulih seperti kala.

Ejen Ali The Movie ditayangkan di TV3

Buat peminat filem animasi Ejen Ali The Movie, filem ini akan ditayangkan di TV3 pada 25 Disember ini, pada jam 10.00 malam sebagai sebahagian daripada program istimewa sempena sambutan cuti perayaan. Apa yang menariknya, filem ini dialih bahasa ke Bahasa Inggeris. Ejen Ali mengisahkan mengenai seorang budak lelaki bernama Ali yang secara tidak sengaja terlibat dengan sebuah peranti pintar, IRIS, milik agensi pengintipan, MATA.

Akibat mengetahui terlalu banyak akan rahsia MATA, Ali direkrut sebagai ejen rahsia. Siri animasi Ejen Ali mula disiarkan di TV3 pada tahun 2016 dan sepanjang siarannya ke udara, siri ini juga turut disiarkan di lebih 50 negara di Asia Tenggara, Timur Tengah, Afrika Utara, benua India dan Amerika Utara. Populariti siri Ejen Ali ini juga telah menyakinkan pihak produksi menghasilkan tiga permainan bagi alatan mudah alih yang yang telah meraih lebih dari 7 juta muat turun sehingga kini menerusi aplikasi di Apple App Store dan Google Play Store.

Kejayaan siri ini seterusnya direalisasikan oleh kutipan box office melalui filem Ejen Ali The Movie yang dilancarkan pada Disember 2019. Filem ini telah meraih kutipan sebanyak RM32 juta di layar perak dan platform on-demand di Malaysia, Singapura, Brunei dan Indonesia. Ini sekaligus menjadikannya filem animasi terlaris di Malaysia. Untuk maklumat terkini mengenai EJEN ALI, sila layari platform YouTube, Facebook, Instagram dan Twitter.

SKIP THIS AD ×