
Pengarah dan penerbit terkenal, Erma Fatimah memaklumkan pihak produksi di Indonesia bakal menghasilkan tiga buah filem yang diilhamkan daripada drama bersiri Bidaah.
Artikel Berkaitan: [VIDEO] Erma Fatima Mahu Papar Realiti Penunggang Agama, Tegaskan Drama Bidaah Tiada Kaitan Dengan Ulama – ‘Pakaian Seseorang Yang Beriman Adalah Ilmu’
Artikel Berkaitan: Jakim Jumpa Produksi Drama Bidaah, Penerbit Terima Teguran & Sedia Potong Adegan Tak Sesuai
Tiga filem Indonesia
Ketika ditemui OhBulan!, Erma atau nama lengkapnya Fatimah Ramad Ali, tiga filem tersebut akan dihasilkan oleh tiga produksi yang berbeza namun berkisarkan tentang ajaran sesat.
Salah satu video yang tersebar di media sosial di mana saya bersama penerbit dari Indonesia itu membabitkan projek filem berjudul Khurafat Walid yang dirancang tahun ini.
Ia berdasarkan cerita Bidaah di mana saya juga yang akan menulis skripnya nanti.
Selain itu, Erma berkata, mereka juga bakal menghasilkan sebuah filem bertajuk Nikah Batin yang diinspirasikan daripada kisah sebenar, manakala judul bagi filem ketiga belum diputuskan lagi.
Ada satu ‘pesantren’ (sekolah pondok) di sana yang kena serbu selepas kononnya ada jemaah perempuan yang dapat kekuatan buat laporan polis selepas menonton drama Bidaah seperti yang dilaporkan akhbar di sana.
Pesantren itu diserbu polis dan berita itu sudah tular di Indonesia. Jadi penerbit akan buat filem itu berdasarkan kejadian yang berlaku termasuk perkara pelik berlaku antara jemaah.
Erma berkata demikian ketika ditemui pada sidang media Seeking Rahma Gathering 2025, yang berlangsung di Imperial Lexis, Kuala Lumpur pada Khamis.
Bakal bawa pelakon Malaysia
Dalam pada itu, penerbit berusia 57 tahun tersebut juga bakal membawa barisan pelakon dari Malaysia untuk terlibat sama dengan filem-filem berkenaan.
Saya memang letak syarat kepada penerbit di sana dari segi pemilihan pelakon sekurang-kurangnya kena ambil pelakon dari Malaysia.
Saya juga akan terbabit dalam pemilihan pelakon dari Indonesia juga. Bagi filem Khurafat Walid, memang ada seorang pelakon kita akan di bawa ke sana.
Meskipun drama Bidaah pernah dikritik hebat, namun Erma tetap berasa bangga apabila berjaya membolosi industri hiburan di negara jiran.
Watak Walid lakonan Faizal Hussein sudah popular di Indonesia dan semua orang di sana juga bertanya bila pihak kami mahu bawa Faizal turun (bertemu peminat) ke sana?
Sebagai penerbit Bidaah, saya juga berasa sangat bangga kerana mereka kenal Walid saya di sana (Indonesia). Ia juga buat saya berasa sangat berbaloi kena maki dan kecam sebelum ini.
Sekadar info, drama tersebut turut menampilkan Vanidah Imran, Fattah Amin, Riena Diana, Marisa Yasmin, Hasnul Rahmat, Fazlina Ahmad Daud dan ramai lagi.