Baru-baru ini, nama Kamya Fest menjadi bualan hangat di media sosial selepas tular isu vendor dan pengunjung mempertikaikan caj bayaran masuk yang dikatakan terlalu tinggi.
Artikel Berkaitan: Video CSR Dandan Rambut Warga Emas Viral, Erna Elliyana Beri Amaran Jangan Abai Ibu Bapa!
Saya penaja bukan penganjur
Pengasas dan penyanyi, Erna Elliyana yang turut terpalit menjelaskan dia bukan penganjur sebaliknya selaku penaja terbesar Kamya Festival.
Dedahnya, gara-gara salah faham, dia menerima tohmahan dan hinaan di samping imej Kamya telah tercalar.
Tujuan kami mengadakan sidang media hari ini untuk membersihkan nama Kamya selaku Penaja Kamya Festival yang telah disalah ertikan sebagai penganjur.
Kamya adalah penaja terbesar festival berkenaan dan disebabkan itu dinamakan sebagai Kamya Fest. Walaubagaimanapun, kami bukanlah penganjur.
Berkenaan caj bayaran masuk, keputusan itu pernah dipertikai dan dibangkitkan pihak Kamya.
Namun, memandangkan ini adalah festival pertama penglibatan kami sebagai penaja, kami menurut sahaja keputusan penganjur yang lebih berpengalaman dalam urusan penganjuran acara meskipun berat hati.
Erna berkata demikian ketika ditemui pada sidang media yang diadakan di K-Town Korean BBQ Grill House, Desa Pandan.
Turut hadir ialah peguam dari Hakem Arabi & Associate, Ganesh Magenthiran serta Pengarah Alpha Negaya Sdn Bhd, Jay Fadaak.
Dah labur RM445,000
Tambah usahawan berumur 34 tahun ini, dia terpaksa menanggung kerugiaan lebih RM200,000 gara-gara sikap acuh tak acuh penganjur yang lepas tangan.
Sasaran kami untuk mendapatkan 50,000 pengunjung tidak berhasil selepas isu viral sejak hari pertama pada 10 Februari. Hal itu juga menyebabkan kami kerugian separuh daripada jumlah yang dilaburkan untuk acara terbabit.
Selain isu viral, faktor cuaca seperti hujan juga menyebabkan kurangnya sambutan daripada pengunjung.
Dalam pada itu, pemilik nama Erna Elliyana Rosli menggesa influencer, vendor dan para pengunjung yang telah melemparkan penghinaan dan tohmahan untuk menarik balik semua kenyataan yang berunsur fitnah dalam tempoh dua minggu bermula hari ini.
Kalau ikutkan saya bukanlah wanita yang mudah emosi. Tetapi kalau sudah hari-hari dilemparkan dengan cacian, sebagai manusia biasa, saya juga terkesan.
Jadi, saya meminta semua pempengaruh, vendor dan netizen yang membuat kenyataan negatif terhadap Kamya Fest tempoh hari untuk memadam hantaran berkenaan.
Jika gagal berbuat demikian, saya dan pihak peguam tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang.
Kamya Fest telah berlangsung pada 10 hingga 12 Februari lalu di perkarangan Stadium Bukit Jalil, Kuala Lumpur.
Antara barisan rakan artis yang mengambil bahagian termasuk Shuib, Bella Astillah, Alyah, Dolla, Nana Mahazan, Nabila Huda, Ayie Floor 88, Nadia Brian, Syura Badron dan ramai lagi.
Terdahulu, sebanyak RM10 dikenakan sebagai yuran masuk ke tapak festival namun penganjur membuat keputusan untuk tidak mengenakan sebarang caj untuk masuk pada hari kedua dan ketiga.
Warganet juga mempertikaikan harga parkir oleh pengurusan Stadium Bukit Jalil bernilai RM20 kepada setiap pengunjung yang dianggap terlalu mahal.