Dunia hiburan sentiasa berubah. Ada satu ketika, televisyen menjadi ukuran utama populariti seseorang artis. Kemudian datang YouTube, Instagram dan hari ini, TikTok pula menjadi antara ruang yang paling banyak mencuri perhatian penonton.

Perubahan itu turut membawa satu persoalan kepada penggiat seni. Apabila tawaran berlakon, menyanyi atau muncul di televisyen tidak lagi sebanyak dahulu, adakah beralih kepada TikTok LIVE bermaksud kerjaya seseorang artis sedang merosot?

ARTIKEL BERKAITAN: Individu Dedah Talita Dibayar RM5,000 Untuk Satu Jam Sebagai ‘Live Host’ Di TikTok

ARTIKEL BERKAITAN: Aliff Syukri Dedah Dua Jam ‘Live’ Dapat RM100K – ‘Tak Sama Dengan Gaji Lain’

Populariti Sedia Ada Bukan Jaminan

Bagi pempengaruh dan Ketua Pegawai Eksekutif KamiSempoi International Agency (KSIA), To Chin Swee atau Pakcik Chin Swee, tanggapan tersebut sudah tidak lagi relevan.

Sebaliknya, dia melihat LIVE sebagai satu lagi pentas yang boleh dimanfaatkan artis untuk terus menghiburkan, membina hubungan dengan peminat dan pada masa sama membuka sumber pendapatan baharu.

“Kalau artis buat TikTok LIVE, sebenarnya mereka sudah ada satu kelebihan. Mereka pelakon, penyanyi dan orang memang sudah kenal.

“Jadi apa yang perlu dibuat adalah buka LIVE dan kendalikan rancangan sendiri. Gunakan cara masing-masing untuk menghiburkan pengikut mereka,” katanya.

Namun mempunyai nama besar tidak bermaksud seseorang artis secara automatik akan berjaya sebagai live streamer.

Berada di depan kamera untuk drama, program televisyen atau persembahan pentas merupakan pengalaman yang berbeza berbanding perlu mengendalikan siaran langsung sendiri selama berjam-jam.

Tiada skrip lengkap, tiada pengarah yang akan memberi arahan dan tiada proses suntingan untuk membuang bahagian yang tidak menarik.

Artis perlu tahu bercakap, membaca reaksi penonton, membina momentum dan paling penting, memastikan orang mempunyai sebab untuk terus berada dalam LIVE mereka.

Sebab itu Pakcik Chin Swee percaya perkara pertama yang perlu dilakukan artis adalah merendahkan ego dan bersedia mempelajari sesuatu yang baharu.

Dia mengambil contoh pelakon Riezman Khuzaimi yang menurutnya sudah bersama ekosistem KamiSempoi selama lebih empat tahun.

“Dulu bila job berkurang, saya ajar dia buat LIVE. Bagi saya, kita kena rendahkan diri untuk belajar benda baharu.

“Bila seseorang itu sudah artis, orang sudah kenal mereka. Tinggal lagi bagaimana mereka menggunakan kelebihan itu untuk mengendalikan LIVE mereka sendiri,” katanya.

Selain Riezman, penyanyi Nita Hamzah juga antara selebriti yang menurut Pakcik Chin Swee aktif melakukan LIVE bersama KamiSempoi, manakala beberapa nama lain memilih untuk muncul secara berkala.

Situasi ini menunjukkan bahawa garisan antara artis konvensional dan pencipta kandungan digital semakin kabur.

Seseorang tidak lagi semestinya perlu memilih sama ada mahu menjadi penyanyi, pelakon atau live streamer. Kesemuanya boleh bergerak serentak sekiranya platform itu digunakan dengan cara yang betul.

Daripada Menunggu ‘Job’, Cipta Pentas Sendiri

Di sinilah TikTok LIVE mungkin memberikan sesuatu yang suatu ketika dahulu sukar dimiliki artis iaitu kawalan terhadap pentas mereka sendiri.

Dalam industri tradisional, seseorang artis perlu menunggu panggilan produksi, tawaran persembahan atau peluang daripada penganjur.

Dalam dunia LIVE, pentas itu boleh diwujudkan sendiri.

Namun Pakcik Chin Swee tidak melihat konsep tersebut sekadar sebagai membuka kamera dan berbual tanpa hala tuju.

Menurutnya, perkembangan TikTok bergerak ke arah kandungan yang semakin tersusun dan berkualiti. Justeru, aspek visual, komunikasi, kandungan dan produksi perlu diberikan perhatian sekiranya seseorang mahu menjadikannya kerjaya profesional.

“Orang sekarang banyak menghabiskan masa di TikTok. Sebab itu kualiti LIVE juga semakin penting.

“Bukan hanya kena pandai bercakap, tetapi kena jelas dari segi visual, audio dan kandungan. Kita kena fikir bagaimana mahu menghasilkan LIVE yang orang mahu tonton,” katanya.

Malah, dia melihat live streamer sebagai sebahagian daripada golongan penghibur baharu.

Menurut Pakcik Chin Swee, penonton masuk ke sesuatu LIVE bukan semata-mata kerana mahu memberikan gift. Ada yang datang kerana mahu ketawa, berbual atau melepaskan tekanan selepas seharian bekerja.

“Ramai orang stres dengan kerja dan kehidupan. Bila mereka masuk LIVE yang boleh menghiburkan, mereka ketawa dan rasa lega.

“Sebab itu kita perlukan lebih ramai penghibur dengan kandungan yang berbeza. Bukan sekadar pandai LIVE tetapi tahu bagaimana mahu menghiburkan secara profesional,” katanya.

Artis Tidak Hilang Nilai Hanya Kerana Platform Berubah

Perubahan tersebut mungkin memerlukan sedikit anjakan cara berfikir, terutama dalam industri hiburan yang selama bertahun-tahun meletakkan televisyen, radio dan pentas sebagai simbol utama kejayaan.

Hakikatnya, medium mungkin berubah tetapi kemahiran asas seorang artis masih sama.

Pelakon perlu memahami audiens. Penyanyi perlu tahu mencipta hubungan dengan pendengar. Pengacara perlu mampu mengawal suasana.

Semua kemahiran itu mempunyai nilai dalam dunia LIVE.

Bezanya, seseorang artis kini perlu belajar menggunakan kemahiran tersebut tanpa bergantung sepenuhnya kepada medium tradisional.

Sebab itu, bagi Pakcik Chin Swee, persoalannya bukan sama ada TikTok LIVE terlalu rendah untuk seorang artis.

Sebaliknya, adakah seseorang artis sanggup menyesuaikan diri apabila cara masyarakat mendapatkan hiburan berubah?

LIVE Mahu Dibawa Ke Tahap Lebih Profesional

Kepercayaan terhadap masa depan bidang tersebut menjadi antara sebab KSIA bakal melancarkan KamiSempoi Premier Academy, sebuah akademi yang memberi fokus kepada pembangunan live streamer secara lebih tersusun dan profesional.

Program berkenaan merangkumi latihan komunikasi, pembangunan kandungan, penampilan, penyampaian, aspek teknikal serta setup LIVE, dengan peserta dibangunkan dalam tempoh sehingga setahun. KSIA turut membuka peluang kepada individu daripada pelbagai latar belakang termasuk penyanyi, pengacara, pelajar, suri rumah dan mereka yang langsung tidak mempunyai pengalaman dalam industri hiburan.

Menurut Pakcik Chin Swee, pengalaman mengendalikan bakat selama lima tahun menunjukkan seseorang yang bermula dari kosong berpotensi membina pendapatan lima angka dalam tempoh enam hingga 12 bulan sekiranya mempunyai disiplin dan mengikuti bimbingan yang diberikan.

Pada masa sama, KSIA akan terus meraikan pencapaian komuniti live streamer menerusi KamiSempoi Golden Award 2025 yang kembali untuk tahun keempat dengan 20 kategori pengiktirafan. Acara kemuncaknya dijadualkan berlangsung pada 28 Ogos 2026 di Glitz Gala Ballroom, Pusat Perdagangan Mines 2, Seri Kembangan.

Dengan kira-kira 4,300 live host di Malaysia, 1,500 di Indonesia dan 200 di Singapura berada dalam ekosistem KSIA, angka tersebut sekurang-kurangnya menunjukkan bahawa LIVE bukan lagi fenomena kecil di pinggir industri hiburan digital.

Untuk artis pula, mungkin sudah tiba masanya untuk tidak lagi melihat platform digital sebagai tempat yang hanya digunakan apabila peluang lain semakin berkurang.

Televisyen pernah menjadi pentas. Media sosial kemudian membuka pentas baharu.

Hari ini, satu butang “Go LIVE” juga boleh menjadi sebuah pentas.

Yang membezakan hanyalah bagaimana seseorang artis memilih untuk menggunakannya.