
Penyanyi dari Indonesia, Fabio Asher dan Nadhif Basalamah bakal mengadakan Konsert Rumah Hati yang dijadualkan berlangsung di Megastar Arena Kuala Lumpur pada 26 Julai ini.
Artikel Berkaitan: Nadhif Basalamah Gegar Kuala Lumpur 11 September Ini Menerusi Konsert ‘Menjaga Hati Tour 2025’
Artikel Berkaitan: ‘Malam 3 Suara’ Satukan Rizky Febian, Fabio Asher & Anggi Marito
Konsert di Malaysia
Fabio dan Nadhif meluahkan rasa teruja dan gembira kerana pertama kali mereka bakal berkongsi pentas dan diberikan peluang bersama untuk menghiburkan peminat di Malaysia.
Menurut Fabio, dia menyifatkan Malaysia seperti rumah keduanya dan tidak sabar untuk memberikan persembahan istimewa selepas menerima sokongan luar biasa daripada peminat di negara ini.
Bagi saya, Malaysia sudah menjadi rumah kedua. Hampir setiap tahun saya akan kembali ke Malaysia.
Kali ini mungkin dengan konsep yang berbeza dan Malaysia mempunyai tempat yang istimewa kerana peminat saya di sini sangat teruja setiap kali saya datang.
Saya harap kunjungan kali ini akan menjadi satu memori yang bermakna.
Sementara itu, Nadhif pula yakin muzik dan persembahan yang dibawa mereka dapat mengeratkan lagi keserasian dua negara.
Secara peribadi, saya sentiasa kembali melawat Kuala Lumpur kerana saya rasa ia dapat mengeratkan hubungan antara Malaysia dan Indonesia.
Kita merupakan negara serumpun. Saya percaya muzik mempunyai keupayaan untuk menyatukan tenaga dan perasaan dengan cara yang kadang-kadang sukar untuk kita fahami.
Sebab itu, saya sentiasa gembira untuk kembali ke Malaysia. Saya rasa itu adalah salah satu sebab mengapa saya memilih untuk sentiasa datang semula ke sini.
Fabio dan Nadhif berkata demikian ketika sesi sidang media Konsert Rumah Hati yang diadakan secara atas talian pada Khamis.
Dalam pada itu, Fabio turut sempat berkongsi juadah kegemarannya setiap kali berkunjung ke Malaysia.
Perkara pertama yang saya akan cari adalah nasi tomato. Saya tahu nasi lemak, tetapi nasi tomato memang menjadi pilihan saya.
Saya sudah lupa nama tempatnya, tetapi saya pernah diberikan oleh peminat di Malaysia dan rasanya sangat sedap.
Mungkin nanti saya akan bertanya kepada peminat di Malaysia untuk tahu tempat terbaik mendapatkan nasi tomato.
Manakala pelantun lagu Kota Ini Tak Sama Tanpamu itu pula menggemari nasi lemak, selain sering berkunjung ke Bangsar.
Kalau saya, nasi lemak. Ia merupakan makanan kebangsaan dan semua orang tahu mengenainya. Kegemaran saya adalah Nasi Lemak Bumbung.
Saya juga suka lepak di kawasan Bangsar seperti APW (A Place Where). Kalau mahu cari saya, carilah di kawasan Bangsar.