Surah Al-Waqiah sering dikenali sebagai ‘Surah Kekayaan’ atau surah pelaris rezeki. Bagi sesiapa yang sedang diuji dengan masalah kewangan, kesempitan hidup atau hati yang resah, surah ini menyimpan 1001 rahsia yang boleh dijadikan amalan harian.

Kelebihan surah Al-Waqiah

Manfaat paling masyhur surah ini adalah sebagai magnet rezeki merangkumi kewangan, kesihatan, kebahagiaan dan ketenangan jiwa.

Menjadikan surah ini sebagai wirid harian bukan sahaja menenangkan hati, malah menghilangkan rasa sempit wang. Amalan ini membuka pintu nikmat yang luas.

Selain itu, Baginda Rasulullah SAW bersabda bahawa sesiapa yang membacanya setiap malam, tidak akan ditimpa kebuluran atau kemiskinan selamanya. Ia adalah pelindung ekonomi terbaik untuk umat Islam.

Terdapat satu amalan khusus untuk menjemput kekayaan luar biasa dengan cara membaca sebanyak 14 kali setiap kali selepas solat Asar. Jika dibaca dengan ikhlas untuk mendekatkan diri kepada Allah, kekayaan duniawi akan datang mencurah-curah tanpa diminta.

Seterusnya, bagi mereka yang mempunyai hajat besar, terdapat dua kaedah yang disarankan oleh ulama yang pertama untuk hajat mendesak, perlu baca surah ini sebanyak 41 kali dalam satu majlis (sekali duduk).

Kedua untuk aliran rezeki lancar, baca 40 kali setiap hari selama 40 hari berturut-turut. Dengan izin-Nya ezeki akan datang dari pelbagai sudut.

Untuk mengelakkan diri menjadi takbur apabila kaya, amalkan membaca Al-Waqiah 3 kali selepas Subuh dan 3 kali selepas Isyak. Amalan ini membentuk hati yang sentiasa bersyukur, pemurah dan tidak lokek untuk bersedekah.

Membersihkan hati, elak sifat bongkak

Kelebihan surah ini juga adalah membersihkan hati dan terpelihara daripada sifat bongkak. Hati akan menjadi lembut untuk membantu orang lain dan rajin melakukan amal jariah sebagai bekalan akhirat.

Al-Waqiah juga boleh dijadikan ikhtiar menaikkan seri wajah (awet muda) dengan cara mengambil segelas air, baca Al-Fatihah, Ayatul Kursi, dan Surah Al-Waqiah (ayat 35-38) sebanyak 7 kali. Kemudian tiup pada air dan minum dengan niat menjaga kecantikan serta kebahagiaan rumah tangga.

Bagi yang mahu mendekatkan diri kepada Allah (tahap Sufi), ikuti petua Syeikh Abi’l Abbas ini iaitu dengan berpuasa 7 hari (Jumaat hingga Khamis). Selain itu, berbuka puasa hanya dengan makanan tidak bernyawa (sayur/buah). Sepanjang 7 hari, baca Al-Waqiah 25 kali setiap selepas solat fardu dan pada malam terakhir (malam Jumaat), baca 125 kali disusuli selawat 1000 kali.

Dalam pada itu, surah ini sangat elok dibacakan di sisi orang yang sedang nazak. Fadhilatnya dapat meringankan sakit ketika roh keluar, mengurangkan penderitaan, dan memudahkan urusan kematian.

Bagi ibu hamil, surah ini boleh diamalkan di sisi wanita yang hendak melahirkan. Ia bertujuan mengurangkan rasa sakit kontraksi dan mempercepatkan proses kelahiran bayi dengan selamat.

Kesimpulannya, jangan pernah berputus asa dengan rezeki. Jadikanlah Surah Al-Waqiah sebagai teman setia anda setiap hari. 

Bacalah dengan hati yang ikhlas kerana Allah, bukan semata-mata kerana mahu kaya. Apabila hubungan kita dengan Allah terjaga, nescaya segala urusan dunia akan dipermudahkan-Nya.

Sumber: Facebook Faridah Mohd Ali