Dua tahun yang lalu kita agak kurang bernasib baik kerana tidak dapat menyambut Hari Raya Aidilfitri dengan meriah sebagaimana tahun-tahun sebelumnya disebabkan oleh penularan wabak Covid-19. Namun, tahun ini seluruh umat Islam berpeluang menyambut Hari Raya bersama keluarga tercinta memandangkan pihak kerajaan telah mengumumkan tiada sekatan akan dilakukan untuk Hari Raya tahun ini.
Bagi menaikkan semangat dan ‘vibes’ Hari Raya korang semua, kami nak kongsi fakta menarik di mana pada tahun 2033 nanti umat Islam di seluruh dunia bakal menyambut Hari Raya Aidilfitri sebanyak dua kali iaitu pada awal dan akhir tahun! Wah menaril! So kena beli baju raya dua kali ke?
Bulan Hijrah dan Masihi berbeza
Foto: Tarikh Cuti Tahun 2033
Mengikut kiraan kasar di kalendar, Umat Islam akan menyambut Hari Raya Aidilfitri sebanyak dua kali dan tarikh pertama perayaan tersebut adalah pada 3 Januari 2033 dan kali kedua adalah pada 23 Disember 2033. Korang mesti terfikir kenapa boleh jadi macam ni? Well, hal macam ni memang sebenarnya tak pelik sebab perkiraan bulan Hijrah dan Masihi sememangnya berbeza walaupun kedua-duanya mempunyai 12 bulan. Untuk umat Islam kita merujuk kalendar Hijrah sementara kalender Masihi digunakan secara global oleh seluruh dunia.
Buat pengetahuan korang, kalendar Islam mula dikenali semasa zaman penghijrahan Nabi Muhammad S.A.W dari Kota Makkah ke Madinah. Kalendar Hijrah ini mempunyai 12 bulan iaitu Muharam, Safar, Rabiul Awal, Rabiul Akhir, Jumadil Awal, Jumadil Akhir, Rajab, Syaban, Ramadan, Syawal, Dzulkaidah dan Dzulhijah. Walaupun kedua-dua kalendar ini mempunyai 12 bulan tapi jumlah hari tidak sama. Kalender Masihi mempunyai 365 hari manakala, kalendar Hijrah mempunyai 355 hari.
Jadi perselisihan 10 ke 11 hari dalam setahun memang akan berlaku. Inilah sebabnya kenapa tarikh bulan Ramadan selalunya berjalan lebih cepat dan berbeza di kalendar Masihi pada setiap tahun. Dengan perkiraan ini, akan terjadinya dua kali Ramadan pada setiap 30 tahun dan dua kali Syawal dalam lebih kurang 36 atau 37 tahun. Kalau berdasarkan kiraan kalendar sambutan Hari Raya Aidilfitri dua kali setahun ini akan terjadi pada tahun 2033.
Jimat dan seronok!
Foto: Google
Bila dah sebut dua kali raya, pasti individu yang sudah berumah tangga mahupun bujang dapat berjimat cermat dan tidak perlu berbelanja lebih sempena Hari Raya. Maklumlah, apa yang dipakai awal tahun masih boleh digunakan semula untuk akhir tahun juga. Bagi yang berkemampuan, tak salah juga sekiranya korang nak berbelanja lebih. Ini kerana, Hari Raya Aidilfitri dua kali setahun ini bukan berlaku setiap tahun.
Selain itu, raya dua kali ni dapat memberi kebahagiaan buat keluarga kerana semua dapat berkumpul dan meluangkan masa bersama. Bagi suami isteri yang ‘ikut turn’ pulang ke rumah keluarga untuk beraya, tahun 2033 nanti korang boleh je balik kedua-dua rumah tanpa perlu berfikir panjang. Anak-anak kecil pula merupakan insan yang paling seronok sebab boleh dapat duit raya sebanyak dua kali pada tahun tersebut.