Pusingan separuh akhir All Star Championship 2025 menyaksikan aktor, Fareez Fauzi mara ke pentas akhir selepas menumbangkan lawannya, Koroy, dalam pertarungan yang berlangsung di Bunker Damansara KL.

Artikel Berkaitan: All Star Championship 2025 Pertaruh 12 Pertarungan, Hadiah RM270,000 Jadi Rebutan

Peserta komited berlatih

Bukan itu saja, hasrat pempengaruh, Imranul Effendy untuk bertemu Izzlan, di pentas akhir tidak kesampaian apabila adiknya tewas kepada Amir Harris sekali gus menutup peluang ‘pertembungan adik-beradik’ yang dinanti ramai.

Pelakon, Shahidan Izwan turut tersingkir selepas tunduk kepada Sonic yang menunjukkan ketenangan dan ketepatan pukulan luar biasa.

Manakala, penyanyi Fariq McFly pula terpaksa melupakan impian memburu kemenangan apabila tewas kepada Oyot, seorang atlet silat yang mempamerkan disiplin dan kawalan gelanggang seolah-olah jaguh profesional.

Menurut penganjur All Star Championship, Dato’ Abdul Rahman Soltan berkata, kejohanan edisi kali ini terus membuktikan bahawa peserta bukan sahaja berani mencabar diri, malah berlatih dengan penuh komitmen untuk menunjukkan aksi bertaraf profesional.

Saya bangga dengan semangat dan disiplin semua peserta. Walaupun ada yang dikecam kononnya bertinju ‘main-main’, mereka sebenarnya menjalani latihan intensif dan menunjukkan komitmen luar biasa di gelanggang.

Secara keseluruhan, penganjuran separuh akhir berjalan lancar dan sambutan penonton sangat luar biasa. Ini membuktikan bahawa All Star Championship kini menjadi fenomena baharu dalam sukan tempur moden.

Tambah Abdul Rahman, kejohanan ini juga menggabungkan unsur sukan dan digital selaras dengan usaha mempromosikan pelancongan domestik melalui kerjasama dengan Tourism Malaysia dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) bersempena Tahun Melawat Malaysia 2026.

Sebanyak tiga kejuaraan utama akan menjadi rebutan dalam pusingan akhir yang bakal berlangsung pada 18 Oktober ini di Arena Sukan Kuala Lumpur, dengan jumlah hadiah terkumpul RM270,000 menanti pemenang.

Kami harap pusingan akhir nanti akan menjadi kemuncak yang paling sengit dan bersejarah, memperlihatkan kehebatan enam peserta terbaik yang kini bersedia merebut gelaran juara All Star Championship 2025.

Mampu melonjakkan nama sukan tinju tempatan

Sementara itu, sebagai penonton dan bapa kepada Fareez Fauzi iaitu Fauzi Nawawi, melihat kejohanan All Star Championship 2025 sebagai satu platform sukan yang dapat menggabungkan arena sukan itu dengan dunia digital.

Fauzi berkata, masyarakat tidak memandang negatif terhadap fenomena ini, kerana ia secara tidak langsung mengurangkan konflik di media sosial dengan pertarungan sihat dan berlangsung secara profesional.

Kita perlu melihat perkara ini secara positif kerana ia mampu melonjakkan nama sukan tinju tempatan ke tahap lebih tinggi melalui penglibatan selebriti yang mempunyai pengaruh besar.

Mereka juga berlatih secara profesional. Lihat sahaja bagaimana pertarungan berlangsung.

Malah, kita patut puji kesungguhan dan matlamat penganjur yang menyediakan gelanggang profesional serta memberi pengalaman kepada peserta yang mungkin sebelum ini hanya berminat dengan sukan tinju.

Sukan tinju sekarang tengah popular dalam kalangan anak muda dan saya dapat lihat bagaimana ia mula meresap masuk ke dalam dunia digital juga. All Star Championship 2025 satu platform yang sihat, tak salah kita sokong.

Tiket untuk menyaksikan perlawanan akhir secara langsung di Arena Sukan Kuala Lumpur pada 18 Oktober ini akan mula dibuka tidak lama lagi.