Selebriti popular, Fasha Sandha berkongsi keadaan terkini yang belum pulih sepenuhnya, namun telah kembali ke set penggambaran selepas berehat selama lapan hari akibat mengalami kecederaan pada mata kiri.
Artikel Berkaitan: Fasha Sandha Kembali Ke Set Penggambaran, Kapsyen Azhan Rani Dah Lama Tak Berlakon Beriya-Iya Curi Perhatian
Artikel Berkaitan: Tulang Mata Kiri Patah, Bebola Mata Bengkak & Berdarah, Fasha Sandha Jatuh Di Set Penggambaran
Belum pulih sepenuhnya
Ketika di temui Oh Bulan! dalam majlis pelantikan Fasha Sandha sebagai duta jenama Alfaro semalam, aktres jelita ini mengakui penglihatannya sekarang agak terbatas kerana masih terdapat kesan darah beku di bahagian dalam mata.
Mata dari luaran nampak okay tetapi dalaman masih patah. Jadi perlu dapatkan rawatan dan buat ‘scan’ untuk lihat sama ada masih ada darah beku atau tidak.
Buat masa ini tiada masalah apa-apa cuma saya senang sakit kepala, sebab mata dan kepala kita ada ‘link’. Jadi bila sakit mata, kepala pun kadang kala sakit sekali.
Meskipun begitu, pemilik nama Nur Fasha Sandha Hassan ini menjelaskan mahu meneruskan dan menyelesaikan segala tanggungjawabnya kerana enggan membebankan pihak produksi. Menurut Fasha, dia tidak mahu penggambaran berkenaan tertanggung kerananya.
Saya fikir kalau saya tak habiskan penggambaran ini nanti krew-produksi tidak dapat bayaran. Jadi biarlah saya ‘struggle’ sikit asalkan rezeki orang lain tidak tersekat. Bagi saya, bila kita memudahkan kerja orang In Shaa Allah kerja kita juga akan dipermudahkan.
Bukan itu sahaja, wanita berusia 39 tahun ini juga akan sentiasa mendahulukan orang lain dari kepentingan dirinya sendiri. Malah, suami dan keluarganya juga sempat mempertikai keputusannya yang mahu kembali semula ke lokasi penggambaran.
Saya sentiasa fikir tentang orang lain, barulah diri saya sendiri, hingga saya dimarah oleh orang sekeliling termasuk mama saya.
Lebih berhati-hati
Sementara itu, Fasha yang berkongsi bakal mengenakan 30 pasang persalinan daripada koleksi raya Alfaro ini turut memberitahu dia dan pasukan produksi ini lebih peka dengan keadaannya di lokasi penggambaran. Malah, pihak produksi juga mencadangkan untuk mengurangkan babak yang melibatkan aktres ini.
Mereka sekarang lebih berhati-hati dan mereka akan periksa dulu tempat tu dulu dan perkara lain.
Tapi mereka ada tanya juga okay tak kalau kita kurangkan babak ini, maksudnya mereka tidak mahu babak yang terlalu agresif. Saya kata tak boleh nanti tak ‘feel’ dan tak sama.
Sebelum ini, Oh Bulan! melaporkan Fasha terlibat kemalangan ketika menjalani penggambaran telefilem di Johor Bahru sehingga dimasukkan ke hospital pada 2 Mac lalu.