berita

Fattah Amin Terkejut Jadi ‘Viral’, Syukur Lakonan Dalam Filem Indonesia Diterima Ramai Orang

February 21st, 2024 | by Amirul Ilyasha
Kini Trending

Pelakon, Fattah Amin meluahkan rasa syukur selepas watak ‘Yusuf’ yang dibawakannya di dalam filem seram Indonesia, ‘Trinil: Kembalikan Tubuhku’ berjaya memberikan impak positif buat karier lakonannya.

Artikel Berkaitan: [VIDEO] ‘Suami Kena Ambil Tahu Dengan Siapa Isteri Berkawan’ – Fattah Amin Tak Kongkong Fazura

Syukur lakonan diterima orang Indonesia

Ketika ditemui OhBulan!, Fattah atau nama sebenarnya Abdul Fattah Mohd Amin berkata, dia berasa terkejut kerana watak yang dibawanya itu menjadi tular sehingga membuatkan penonton beremosi dan menangis.

Salah seorang pelakon iaitu Rangga beritahu saya, mereka adakan promosi dari pawagam ke pawagam. Satu hari, bila keluar dari satu pawagam di satu lokasi, ada seorang penonton yang menangis selepas keluar dari pawagam dan pukul-pukul Rangga.

Sebab watak Sutan lakonan Rangga itu melakukan sesuatu kepada watak Yusuf. Jadi, tak sangka pula watak Yusuf ini boleh buatkan penonton menangis.

Jadi, bila saya ke sana sertai promosi mereka, saya dipertemukan dengan kanak-kanak perempuan itu. Dia memang nampak gembira.

Lebih manis ialah Fattah memaklumkan bahawa kanak-kanak yang baru sahaja berusia tujuh tahun itu sanggup terbang dari Bandung ke Jakarta hanya semata mahu berjumpa dengannya.

Budak itu sanggup datang dari Bandung ke Jakarta untuk berjumpa saya. Walaupun gembira, dia menangis juga. Saya tanya kenapa, dia cakap sedih sebab nasib yang menimpa watak Yusuf.

Fattah berkongsi perkara tersebut ketika ditemui pada sidang media filem ‘Trinil: Kembalikan Tubuhku’ yang diadakan di Dadi Cinema, Pavillion Kuala Lumpur pada petang Rabu.

Dalam pada itu, suami kepada pelakon Fazura juga teruja kerana rakyat di Indonesia memberikan reaksi yang sangat positif di media sosial terhadap watak yang dilakonkan.

Di media sosial pun saya ada baca komen, mereka cakap suka dengan watak Yusuf. Mereka tak pernah tengok saya, jadi mungkin bila nampak saya dalam filem ini, mereka nampak kewujudan saya.

Mungkin ada yang dah kenal dari filem Mat Kilau, tapi, kali ini, mungkin ia berjaya menarik perhatian peminat filem seram.

Diarahkan pula oleh Mas Hanung yang cukup dikenali. Jadi, bila mereka lihat watak Yusuf, ia satu watak menarik sebab ada plot twist. Jadi, ada yang teremosi juga.

Di situ, saya rasa bersyukur sebab walaupun kali pertama, ia diterima baik.

Sekadar info, Fattah melakonkan watak Yusuf yang merupakan seorang pakar psikiatris dan dukun yang perlu membantu keluarga Sutan dan Rara yang berdepan dengan hantu penanggal.

Selain Fattah, filem Trinil: Kembalikan Tubuhku ini turut dibintangi Carmela van der Kruk, Rangga Nattra, Wulan Guritno, Shalom Razade dan ramai lagi.

Filem yang mendapat sentuhan pengarah Hanung Bramantyo ini bakal ditayangkan di pawagam berdekatan anda bermula esok.

SKIP THIS AD ×