
Impian peminat untuk melihat filem biopik berkisarkan tentang penghibur terkenal, Allahyarham Datuk Sudirman Arshad bakal terlaksana apabila pihak produksi sudah mula membangunkan naskah tersebut.
Artikel Berkaitan: Legasi Terus Dipelihara, Waris Allahyarham Sudirman Terima Royalti Lebih RM360k
Artikel Berkaitan: 31 Tahun Berlalu, Arwah Sudirman Tetap Dalam Kenangan
Filem Sudirman
Berita berkenaan dikongsikan oleh anak saudara Allahyarham Sudirman, iaitu Razman Azrai Zainuddin atau lebih dikenali sebagai Atai.
Ketika ditemui OhBulan!, Atai memaklumkan bahawa pihak produksi sudah mempunyai skrip dan jalan cerita yang bukan sahaja memfokuskan kepada perjalanan seni Allahyarham Sudirman tetapi turut mengetengahkan elemen budaya negara Malaysia.
Idea tentang filem ini sebenarnya dari lima tahun lalu, walaupun banyak tentang Allahyarham dalam fikiran saya namun naskah tersebut mestilah memerlukan penyelidikan.
Jadi orang akan tahu dan belajar tentang adat dan budaya kita pada era 1980-an, selain dapat melihat kita sebagai bangsa Melayu, Cina dan India yang bersatu.
Filem ini juga berkisarkan tentang bagaimana kita meletakkan Malaysia kembali di peta dunia.
Justeru, Atai menyeru mana-mana pihak untuk tampil menjalinkan kerjasama bagi merealisasikan naskah ini.
Jalan ceritanya sudah ada, 70 ke 80 peratus sudah molek bagi saya. Namun kami memerlukan sokongan daripada peminat dan juga syarikat-syarikat yang pernah bekerjasama dengan Allahyarham sebelum ini.
Atai berkata demikian ketika ditemui pada sidang media penghargaan legasi Datuk Sudirman Hj. Arshad di Odean, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Meletakkan sasaran menerbitkan filem ini pada tahun 2028, Atai berkata, mereka turut menerima respon positif daripada beberapa pihak, namun belum mempunyai kata putus.
Kalau kita nak buat filem antarbangsa, anggarannya adalah lima ke 10 juta USD. Tetapi saya mahu lihat dahulu adakah kita boleh buat, tapi kalau sampai ke tahap Academy Awards pun apa salahnya bukan?
Filem biasa di Malaysia pun memerlukan RM6 juta. Jadi kita lihat bagaimana sambutan itu nanti.
Sekarang ini ada pihak yang sudah menyatakan hasrat tetapi belum ‘sign’ lagi. Ada beberapa syarikat koprat yang memberi respon positif. Saya harap ia menjadi realiti.