Pelakon, Mierul Aiman menolak keras tanggapan segelintir pihak yang berpendapat karya seni seperti filem dan drama menjadi punca berlakunya gejala buli dan peningkatan kes dalam kalangan pelajar sekolah.

Artikel Berkaitan: Badan Kekal ‘Fit’, Mierul Aiman Amalkan ‘Healthy Diet’ – ‘Makan Banyak Sayur’

Karya platform sampaikan mesej

Mierul atau nama lengkapnya Mohammad Amirul Aiman Norazman, 27, berkata naskhah yang dipaparkan di layar hanya adaptasi daripada realiti sekeliling, bukannya punca kepada sesuatu gejala.

Saya membesar dengan filem, drama dan muzik. Saya percaya wujudnya filem rempit adalah kerana budaya itu memang sudah lama wujud dalam masyarakat kita.

Bukan sebab filem itu ditayangkan baru timbul isu rempit. Filem dan drama hanyalah hasil karya yang mengangkat semula kisah-kisah sebenar masyarakat.

Mierul berkata demikian ketika ditemui di sidang media drama terbitan VIU Malaysia, Seadanya Kita yang berlangsung di TRX, pada Rabu.

Jelas bintang Kapla: High Council itu lagi, tujuan utama sebuah naskhah dihasilkan adalah untuk mencetuskan pemikiran dan membuka mata penonton terhadap sesuatu isu, bukan untuk mempengaruhi secara negatif.

Bagi saya, filem atau drama adalah medium untuk manusia berfikir tentang sesuatu isu atau keadaan. Bukan untuk hasut, tapi sebagai cerminan kehidupan. Filem bukan punca buli, hanya cerminan masyarakat.

Bercerita lanjut, Mierut turut menegaskan penonton seharusnya bijak dalam menilai mesej yang disampaikan dalam sesebuah karya.

Saya percaya masyarakat kita cukup bijak dan tahu membezakan antara baik dan buruk. Kita sendiri sudah dididik oleh ibu bapa dan di sekolah sejak kecil.

Jadi, karya seni seperti filem atau drama hanya menjadi platform untuk menyampaikan pengalaman, bukan untuk ditiru bulat-bulat.

Mengenai Seadanya Kita, Mierul selaku tunjang utama naskhah arahan Feroz Kader itu digandingkan dengan Emma Maebong.

Selain Mierul dan Emma, drama romantik 15 episod yang bakal ditayangkan bermula 7 Ogos ini turut dibarisi Shahz Jaszle, Nelissa Nizam, Ara Johari, Yasmin Hani, Anas Ridzuan dan Mikael Noah.