Nostalgia filem fantasi ikonik tanah air kembali selepas 17 tahun mencetuskan fenomena luar biasa, naskah Duyung kini diberi nafas baharu menerusi sekuel berjudul Duyung: Legenda Aurora.

Karya ini bukan sahaja menjanjikan suntikan gelak tawa yang lebih segar, malah diperkasakan dengan penceritaan yang lebih mengujakan.

Artikel Berkaitan: [VIDEO] ‘Poster Duyung: Legenda Aurora Hanya Gimik, Kami Mahu Penonton Peka’ – Razak Mohaideen

Artikel Berkaitan: Maya Karin Dedah Kostum Duyung: Lagenda Aurora Dibuat Ikut Keselesaan Semasa Penggambaran

Jalan cerita lebih menarik

Filem ini diterbitkan secara bersama oleh KRU Studios dan 8 Bit Studio, dengan sokongan Primeworks Studios sebagai rakan pemasaran rasmi.

Mengangkat tema komedi fantasi, karya arahan Datuk Prof. Ts. Dr. A. Razak Mohaideen ini menampilkan gandingan daripada filem asal iaitu Maya Karin, Saiful Apek, dan Yasmin Hani dengan penyertaan barisan pelakon meningkat naik seperti Anna Jobling dan Ayie Floor88, serta penampilan khas Datuk Yusry Abdul Halim.

Menurut Razak, filem tersebut bakal mencuit hati setiap penonton sambil mengimbau kembali fenomena Duyung suatu ketika dahulu.

Duyung: Legenda Aurora menjanjikan hiburan keluarga penuh keseronokan, adegan aksi yang mendebarkan serta mesej tentang cinta, keberanian dan warisan dua dunia yang saling memerlukan.

Filem ini bakal menjadi tontonan wajib hujung tahun yang penuh gelak tawa dan alunan memori yang mendamaikan.

Duyung: Legenda Aurora menampilkan kepulangan Puteri Duyung (Maya Karin), yang memohon bantuan Jimmy (Saiful Apek) dan Aspalela (Yasmin Hani) setelah anaknya, Aurora (Anna Jobling), diculik oleh sindiket pencuri ikan yang menggunakan pukat tunda haram.

Dibantu oleh Hamlau (Saiful Zero), Dashmond (Ayie Floor88) dan sahabat baharu mereka Ajaq (Aniq Aqil), pencarian penuh kekacauan dan keajaiban pun bermula.

Namun cabaran bertambah sukar kerana Aurora dan Hamlau hanya mampu berada di darat tidak lebih daripada enam jam. Berlatarkan dunia laut dan darat yang penuh warna-warni, perjalanan ini bukan sahaja mempertaruhkan nyawa tetapi juga cinta dan masa depan dua dunia.

Jangan lepaskan peluang untuk menyaksikan Duyung Legenda Aurora yang bakal menggegarkan pawagam seluruh negara mulai 25 Disember 2025.