berita

Filem “Tanda Putera” Ditangguh 15 November, Ada Kaitan Politik?

August 15th, 2012 | by Ai
Filem Antarabangsa

Walaupun masih belum dilancarkan lagi di pawagam di seluruh Malaysia, namun filem terbaru arahan Datin Paduka Shuhaimi Baba ini telah menimbulkan pelbagai kontroversi yang menarik perhatian pelbagai pihak.

Filem ini telah menimbulkan bantahan dari pelbagai pihak samada ianya sesuai untuk disiarkan atau tidak dan turut mengundang rasa kesal kepada Shuhaimi Baba kerana sikap segelintir pihak yang lantang mengkritik sedangkan filem ini masih belum dilancarkan walaupun hanya orang tertentu termasuk media sahaja yang sudah menontonnya.

Sewaktu ditemui di sidang akhbar yang diadakan di Eastin Hotel sebentar tadi, Shuhaimi Baba turut menegaskan bahawa filem ini adalah berdasarkan sejarah dan fakta dan bukannya direka-reka seperti yang dikatakan oleh beberapa pihak.

Selain itu, Shuhaimi turut menegaskan bahawa filem ini hanya memfokuskan tentang bagaimana Perdana Menteri kedua pada masa itu iaitu Tun Haji Abdul Razak bin Haji Dato’ Hussein dan pembantunya, Tun Dr. Ismail memulihkan kembali ekonomi negara serta menyatukan seluruh rakyat Malaysia selepas tragedi 13 Mei.

Namun, ada pihak yang tidak bertanggungjawab mengatakan filem ini sengaja ditangguhkan pada 15 November kerana ianya ada kaitan dengan politik. Sepatutnya ditayangkan pada 13 September, filem ini telah ditangguhkan lagi atas sebab-sebab promosi namun pihak tertentu menuduh ianya ditangguhkan kerana mempunyai unsur politik.

Shuhaimi Baba dalam kenyataannya menegaskan, “Kami adalah ‘film-makers’, bukannya ahli politik. Isu ini timbul mungkin kerana ianya bakal dilancarkan sempena pilihanraya umum yang akan datang. Saya rasa jika filem ini ditayangkan tahun lepas ataupun tahun depan, ianya tidak akan menjadi isu yang besar seperti sekarang.”