berita

Review Filem: Tanda Putera Bongkar Rahsia Pejuang Negara

August 26th, 2013 | by Ai
Filem Tempatan

DSC_7240

Selepas dua kali tarikh tayangannya ditunda, reputasi dan promosi filem Tanda Putera sedikit sebanyak telah terganggu dan semakin kurang mendapat perhatian di kalangan penonton.

Bagaimanapun, filem ini sememangnya berbaloi untuk ditunggu kerana isi dan jalan ceritanya cukup berkesan dalam membangkitkan kembali ingatan rakyat terhadap sejarah kemajuan Malaysia.

Untuk pengetahuan anda, Tanda Putera mengisahkan tentang perjalanan dua tokoh pemimpin negara, Perdana Menteri kedua, Tun Abdul Razak Hussain dan timbalannya, Tun Dr Ismail Abdul Rahman dalam mengharungi cabaran getir semasa pergolakan 13 Mei.

Filem ini meraikan keberanian, dedikasi dan patriotisme kedua-dua pemimpin ini yang berjaya membawa kestabilan dan keharmonian negara walau terpaksa bertarung dengan masalah kesihatan yang kritikal.

Pada masa itu, Tun Razak baru sahaja diangkat menjadi Perdana Menteri dan dipertanggungjawabkan untuk mengembalikan keamanan Malaysia selepas terjadinya rusuhan perkauman.

OPS_2950

Walaupun sering mengalami sakit-sakit di awal pelantikannya, Tun Razak tetap gagah bekerja demi memastikan keselamatan rakyat Malaysia terjamin sambil dibantu timbalannya yang berwibawa.

Namun begitu, semangat Tun Razak bagaikan rapuh seketika selepas Tun Dr Ismail meninggal dunia akibat serangan jantung.

Sepanjang hayatnya, Tun Dr Ismail merahsiakan penyakit yang dihidapi kerana tidak mahu menimbulkan kerisauan di hati Tun Razak yang kebetulan dalam masa sama sedang menghidap Leukimia.

Sama seperti Tun Dr Ismail, Tun Razak juga enggan mendedahkan masalah kesihatannya kepada sesiapa termasuk isteri dan keluarganya.

r4 swimming pool_a

Dalam usaha membangunkan semula Malaysia, telah banyak dasar, institusi dan organisasi unggul yang diilhamkan seperti PETRONAS, MAS, MISC, FELDA, UKM, UiTM, dan Dasar Ekonomi Baru namun sayangnya Tun Razak sendiri tidak sempat melihat kejayaan itu selepas beliau meninggal dunia ketika sedang mendapat rawatan di London.

Dibarisi pelakon hebat seperti Rusdi Ramli (Tun Abdul Razak), Zizan Nin (Tun Dr Ismail Abdul Rahman), Faezah Elai (Toh Puan Rahah) dan Linda Hashim (Neno), Tanda Putera berjaya membuatkan penonton merasai kerisauan dan kesedihan yang dialami kedua-dua pemimpin negara itu.

Memang benar Tanda Putera ada menyelitkan kisah 13 Mei, namun babak-babak itu tidaklah digarap secara terlampau hingga boleh memberi kesan negatif kepada penonton.

DSC_3115

Jika dihayati betul-betul, pasti anda faham niat sebenar pengarahnya, Datin Paduka Shuhaimi Baba yang mahu masyarakat menghargai pengorbanan dilakukan oleh negarawan-negarawan Malaysia.

Meskipun begitu, penulis sedikit kecewa kerana pengarah dilihat cuba memasukkan terlampau banyak insiden hingga membuatkan penonton sukar untuk memahami kesinambungan cerita di awal tayangan.

Apapun selain daripada itu, Tanda Putera wajar ditonton oleh semua rakyat Malaysia terutama sekali golongan remaja dan belia yang semakin lupa dengan nilai-nilai sejarah pembangunan Malaysia.

Sesuai dengan sambutan Hari Kemerdekaan Malaysia yang bakal tiba tidak lama lagi, apa kata anda serbu pawagam berhampiran pada 29 Ogos 2013 untuk menghayati sendiri perjalanan hidup Tun Razak dan Tun Dr Ismail yang telah berjuang untuk kesenangan generasi masa kini.

Ingat ini, “orang yang melupakan sejarah adalah orang yang bakal mengulanginya semula.” – George Santayana

Sebelum itu, di bawah ini OHBULAN! sertakan trailer Tanda Putera untuk tontonan anda. Semoga terhibur!

SKIP THIS AD ×