Isu gangguan seksual yang dipercayai melibatkan seorang pendakwah terkenal telah menjadi bualan hangat netizen sehinggakan beberapa video dan mesej lucah kini viral di media sosial. Berikutan daripada itu, pihak polis juga mengesahkan bahawa satu kertas siasatan telah dibuka berhubung isu ini.
Artikel Berkaitan: Polis Siasat Video, Mesej Lucah Di Telegram Didakwa Babitkan Pendakwah Terkenal
Terbaru, pendakwah bebas iaitu Ustaz Firdaus Wong Wai Hung menerusi saluran Telegram miliknya ada mendedahkan klip video sumpah laknat seorang individu.
Sumpah laknat abang mangsa
Bismillahirahmanirahim, Wallahi, Wabillahi, Watallahi. Saya bersumpah dengan nama Allah SWT bahawa adik saya mengalami kemurungan, tekanan dan cuba membunuh diri setelah xxx melakukan perbuatan terkutuk melalui WhatsApp dan juga video call kepada adik saya. Jika saya berdusta, Ya Allah laknatilah saya.
Berdasarkan perkongsian tersebut, video sumpah laknat itu dilakukan oleh seorang lelaki yang dipercayai merupakan abang kepada mangsa serangan seksual yang didakwa membabitkan seorang pendakwah popular. Lelaki berkenaan mendakwa bahawa adiknya ada menerima mesej serta panggilan video daripada pendakwah terbabit sehingga membuatkan mangsa mengalami kemurungan selain cuba membunuh diri.
Setelah perbualan saya bersama mangsa dan ahli keluarganya menerusi Google Meet selama hampir dua jam kelmarin, ahli keluarga mangsa yang sangat ‘supportive’ (kuat menyokong) ini meminta saya kongsikan video sumpah laknat mereka.
Ini adalah video sumpah laknat (mubahalah) dari abang mangsa sebagai saksi bagi membuktikan adiknya menerima mesej serta panggilan video lucah berkenaan sehingga mengalami kemurungan, tekanan dan cuba membunuh diri.
Sementara itu, Ustaz Firdaus Wong Wai Hung mendakwa mereka akan tampil ke khalayak ramai demi menyatakan sebuah kebenaran.
Buat masa ini, nama dan wajah mereka dirahsiakan dahulu. Ini adalah keluarga contoh yang menyokong jihad ahli keluarga mereka yang menerima mesej terkutuk sebegitu.
Sumber: Ustaz Firdaus Wong Wai Hung