berita

Foto: G-Dragon Ubat Rindu Peminat Di Malaysia

June 24th, 2013 | by Ai
Kini Trending

G-Dragon 07

Malam semalam, bersamaan 22 Jun 2013, telah terciptanya satu fenomena yang cukup indah buat peminat-peminat muzik K-Pop, khususnya bagi peminat G-Dragon.

Untuk pengetahuan semua, ketua kumpulan BigBang itu menjejakkan kakinya ke Malaysia buat kali kedua untuk konsert ‘G-Dragon 2013 1st World Tour : One of a Kind in Malaysia’.

Konsert yang menelan belanja RM4.5 juta itu mendapat sambutan yang cukup hangat apabila dianggarkan lebih kurang 25, 000 peminat telah hadir menyaksikan penghibur kesayangan mereka beraksi di pentas Stadium Putra Bukit Jalil.

Keadaan petang Sabtu itu memang cukup meriah apabila para peminat dilihat mulai beratur untuk memasuki kawasan stadium seawal jam 4.30 petang lagi.

G-Dragon 15

Walaupun persembahan bermula lewat sepuluh minit, peminat tetap setia menanti kemunculan G-Dragon, malah mereka tidak mengeluh langsung.

Penantian mereka akhirnya berakhir apabila G-Dragon atau lebih dikenali sebagai GD muncul membolosi skrin layar di atas pentas dengan penuh bergaya sambil menyanyikan lagu terbarunya, MichiGo (Go Crazy).

Tambah menarik minat penonton adalah ketika kemunculannya itu, GD turut tampil bersama props unik ala-ala kereta lumba yang dipancarkan melalui teknik grafik laser. Itu adalah amatan OHBULAN!, betulkan kalau nama teknik itu tidak betul, ya.

G-Dragon 02

Selesai dengan persembahan pertamanya, GD lantas meneruskan hiburan malam itu dengan lagu kedua yang berjudul ‘Heartbreaker’ dan disusuli dengan lagu ‘One of a Kind’ sebagai persembahan ketiganya.

Konsert yang penuh energetik itu turut diserikan dengan reaksi peminat yang cukup sempoi menyanyi dan menari bersama GD menerusi lagu ‘Light it Up’ dan ‘The Leaders’.

Perasaan peminat yang hadir bagaikan dibuai angin malam apabila GD beralih ke arah muzik yang berentak balada ketika mempersembahkan lagu ‘Butterfly’ dan ‘Missing You’ versi akustik.

Beberapa minit kemudian, jiwa keseronokan para penonton bagaikan menaiki roller coaster apabila GD sekali lagi mempersembahkan lagu-lagu rancak menerusi ‘Without You, ‘Shine a Light’, ‘Today’, ‘This Love’, ‘One year Station’, Obsession’, ‘Breath’ dan ‘She’s Gone’.

Tidak ketinggalan, Taeyang yang juga merupakan salah seorang ahli kumpulan BigBang membuat penampilan istimewa pada malam itu dan mendorong para peminat menjerit kegembiraan sewaktu dia mendendangkan lagu ‘Where You At’ dan ‘Break Down’.

Walaupun ada satu ketika gimik GD tak berapa menjadi kerana tali yang sepatutnya membawa dia turun ke pentas tersangkut, GD tak menganggap itu sebagai satu kelemahan dan tetap meneruskan persembahan membawakan lagu ‘Crayon’.

Ketika ini, perasaan cemas peminat kembali reda apabila mereka dilihat turut bergembira menyanyi bersama GD, malah ada yang sanggup berdiri di atas kerusi kerana terlampau teruja!

G-Dragon 13

Secara peribadi, memang wajar GD menjadi pujaan ramai peminat kerana persembahannya cukup mantap dan menghiburkan ditambah lagi dengan gimik dan alunan muzik yang menakjubkan.

Walaupun masih ada yang mempertikaikan kebolehan penghibur ini, GD sekali lagi membuktikan kebolehannya untuk menghiburkan peminat dengan menyanyi dan menari secara langsung selama 2 jam penuh bertenaga.

Di akhir persembahan, GD sempat lagi mengucapkan rasa terima kasihnya kepada semua peminat yang sudi menyokong kerjaya seninya. Selain berkongsi akan melancarkan album solo terbaru pada bulan Ogos ini, GD turut menyatakan bakal kembali ke Malaysia bersama anggota BigBang yang lain.

Untuk pengetahuan semua, Malaysia merupakan destinasi kedua terakhir konsert jelajah GD selepas selesai membuat persembahan di Korea, Jepun, China, Taiwan, Hong Kong, Thailand dan Indonesia.

Bagi yang tak berkesempatan menghadiri konsert GD semalam, di sini OHBULAN! sertakan beberapa keping foto yang dirakam oleh penganjur, Running Into The Sun (RITS). Semoga terhibur!