Pelakon, penyanyi dan usahawan, Nur Fazura bakal menganjurkan konsert Faztival Fazura 2022 pada 11 September depan yang akan menghimpunkan artis terkenal tempatan dan Indonesia.
Artikel Berkaitan: Jualan Tudung Cecah Jutaan Ringgit, Fazura Tak Pernah Fikir Status Jutawan
Konsert sulung
Nur Fazura atau lebih dikenali mesra sebagai Faz bersyukur dan teruja kerana dapat menghimpunkan ramai nama besar untuk konsert ini yang yang juga merupakan penyanyi dan kumpulan muzik terkemuka kegemarannya.
Kata Faz, 38, konsert sulung yang akan berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil membariskan penyanyi popular tempatan seperti Datuk M Nasir, Datuk Awie, Ella, Ruffedge, Zizi Kirana, Ippo Hafiz dan Amir Masdi.
Selain itu, Ahmad Band dari Indonesia yang diketuai legenda muzik Indonesia, Ahmad Dhani bersama isterinya, Mulan Jameela turut sertai.
Alhamdullillah Faz bersyukur kerana konsert ini akhirnya dapat juga direalisasikan kerana sudah lama menyimpan hasrat untuk membuat persembahan bersama dengan rakan-rakan seni yang amat saya kagumi di bawah satu acara yang gilang gemilang.
Konsert ini bakal ditunjangi oleh dua penyanyi luar negara yang tidak asing lagi dari Indonesia, Ahmad Band yang diketuai oleh Ahmad Dhani berserta isterinya, Mulan Jameela yang sudi untuk membuat persembahan di konsert sulung Faztival Fazura 2022 ini.
Fazura berkata demikian ketika di majlis sidang media Faztival Fazura 2022 di Hotel Mandarin Oriental Kuala Lumpur.
Harga mampu milik
Dalam pada itu, pemilik nama Nur Fazura Sharifuddin menyatakan tujuan konsert diadakan adalah untuk meraikan para peminat yang sentiasa memberikan sokongan kepada kerjaya dan juga rangkaian produk jenama Fazura.
Konsert ini juga dianjurkan untuk meraikan para stokis dan ejen rasmi, Fazura Besties yang menunjukkan pencapaian yang terbaik dan konsisten sepanjang menjadi wakil jualan produk jenama Fazura.
Mereka merupakan nadi dalam menggerakkan program Fazura Rewards, di mana pelbagai barangan eksklusif dapat ditebus menggunakan mata ganjaran yang dikumpul.
Harga tiket pula sudah tentunya harga yang mampu dimiliki, kerana #miliksemua sudah begitu sinonim dengan jenama Fazura.
Selain dari persembahan hebat dari para artis yang Faz kagumi ini, beberapa kejutan istimewa juga bakal kami tampilkan semasa konsert ini kelak, insya-Allah.
Saya berharap agar penganjuran sulung Faztival Fazura ini berjaya supaya dapat dijadikan sebagai konsert tahunan, insya-Allah.
Konsert Faztival Fazura 2022 ini diuruskan oleh Icon Entertainment dan tiket bakal dijual pada 19 Ogos 2022 dengan harga yang bermula dari RM147 melalui laman sesawang www.ticket2u.com.my atau talian hotline WhatsApp di +6 019 9919 055.