Nama pelakon dan penyanyi Nur Fazura tidak perlu diperkenalkan lagi. Bukan setakat menjadi anak seni, Fazura kini sibuk menguruskan empayar perniagaan termasuklah tudung jenama sendiri.
Setiap kali Fazura melancarkan koleksi tudung terbaru pasti habis terjual dalam masa singkat dan mengaut keuntungan mencecah jutaan ringgit.
Artikel Berkaitan: Fazura Terharu Nampak Wanita Pakai Tudung Keluarannya, Peminat Puji Pandai Hargai Pembeli – ‘Hari Demi Hari Dia Beri Inspirasi Kepada Saya’
Tolak tepi bab jutawan
Ketika ditemui OhBulan!, ditanya adakah Fazura sudah bergelar ‘jutawan’ selepas keuntungan menjual produk mencecah jutaan ringgit.
Enggan mendabik dada, pemilik nama Nur Fazura Sharifuddin menyatakan status ‘jutawan’ tidak pernah berlegar dalam fikirannya.
Saya tidak pernah memikirkan semua itu. Status sebagai jutawan itu bukanlah topik yang selalu atau suka saya bincangkan.
Jutawan atau tidak itu hanya orang kata menjadi persoalan kedua. Apa yang penting saya meneruskan untuk memberi manfaat kepada orang ramai.
Berpegang dengan kata ibu, pelakon filem Pisau Cukur akan terus menyebarkan kebaikan pada orang ramai. Malah, dia juga bersyukur kerana perniagaan yang diusahakan itu telah membuka ruang untuk kaum wanita mencari pendapatan.
Bak kata emak saya, orang bukan peduli sama ada kita kaya atau tidak, jutawan atau banyak duit, yang penting adalah untuk terus memberi manfaat dan membuat kebaikan.
Saya juga bersyukur kerana perniagaan yang diusahakan ini turut membuka peluang pekerjaan kepada kaum wanita yang sumber pendapatan suami atau keluarga terjejas akibat pandemik bagi membanteras Covid-19.
Fazura ditemui ketika majlis pelancaran aplikasi gaya hidup Islamik, Mukmin Pro yang diadakan di Hotel Mandarin Oriental, pada Jumaat.
Turut sama hadir adalah suami tercinta, aktor Fattah Amin dan penaung bersama Mukmin Pro, Syed Huzaifah Syed Omar di samping diserikan dengan kehadiran Kumpulan Qasidah Kanzul Ulum yang didatangkan khas dari Pulau Pinang untuk mengalunkan qasidah.
Buat aplikasi untuk beri manfaat
Bercerita tentang Mukmin Pro, ibu kepada Nur Fatima Aisya berkata salah satu keistimewaan aplikasi ini adalah ciri penentu arah kiblat selain mengandungi pelbagai video islamik terbaik yang sesuai untuk ditonton pelbagai lapis umur.
Katanya, para pengguna juga berpeluang menyertai program secara atas talian seperti kelas mengaji, Tafsir Al-Quran, wakaf quran, infaq makanan, ibadah Qurban dan Aqiqah.
Mukmin Pro adalah aplikasi telefon mudah alih untuk gaya hidup Islam yang menawarkan pelbagai ciri dan perkhidmatan serta menghubungkan umat Islam di seluruh dunia.
Sesetengah aplikasi tidak berapa tepat dalam menunjukkan arah kiblat. Namun, menerusi Mukmin Pro, arah kiblat memang dijamin tepat. Selain itu, ciri-ciri seperti fungsi getaran turut dimuatkan bagi memudahkan orang kurang upaya menggunakan aplikasi ini.
Saya berharap aplikasi ini dapat memudahkan semua pengguna melakukan ibadah pada setiap hari walau di mana jua berada.
Selain itu, aplikasi ini turut didatangi dengan rangkaian audio bacaan zikir, doa harian, surah al-Quran, waktu solat dan navigasi masjid.
Aplikasi Mukmin Pro boleh dimuat turun melalui ‘Apple App Store’ dan ‘Google Play Store’ secara percuma.
Sumber: Instagram @missfazura