
Komposer, Hafiz Hamidun berkongsi kisah di sebalik proses penghasilan lagu Rencong nyanyian Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza yang dimuatkan dalam album terbaharu penyanyi tersohor itu berjudul Gema Bumatara.
Artikel Berkaitan: Siti Nurhaliza Umum Konsert Berskala Besar! Kembali Ke Stadium Nasional Bukit Jalil Selepas 21 Tahun
Trivia Rencong
Menerusi satu hantaran di Threads, Hafiz mendedahkan demo asal lagu tersebut dinyanyikan oleh penyanyi Zizi Kirana.
Trivia Rencong, demo lagu ini sebenarnya dinyanyikan oleh Zizi Kirana.
Tambah Hafiz, ada sedikit perubahan pada lirik lagu berkenaan selepas dipilih untuk dimuatkan dalam album, namun Zizi tidak dapat meneruskan sesi rakaman semula kerana terlibat misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF).
Setelah lagu ini disahkan untuk dimasukkan dalam album, ada sedikit perubahan pada liriknya.
Namun Zizi tidak sempat untuk ubah demo kerana pada hari saya minta dia datang ke studio, dia terpaksa berlepas ke Sepanyol bagi menyertai misi GSF.
Dalam hantaran sama, Hafiz turut berkongsi tangkap layar mesej perbualan mereka serta menyatakan penghargaan kepada Zizi.
Terima kasih Zizi kerana masih sempat bertanya khabar mengenai lagu ini walaupun ketika sedang belayar.
Album Gema Bumatara yang mengetengahkan konsep irama tradisional menampilkan 10 buah lagu termasuk Rencong, Kumbang Bunga, Hati Yang Rindu dan Pesanan Buat Diri.
Turut dimuatkan adalah Kaca dan Permata, Syurgaloka, Hujung Bumi, Kesuma, Jenjang Cinta dan Cenderamaya.
Sumber: Threads