Pemergian penyanyi vateran tahun 80-an, Allahyarhamah Rohana Jalil membuatkan penyanyi dan penyampai radio, Haiza Hanafi teringat kembali akan pesanan yang ditinggalkan buatnya.
Artikel Berkaitan: Penyanyi Rohana Jalil Meninggal Dunia
Artikel Berkaitan: [VIDEO] ‘Saya Pernah Ajak Buat Pemeriksaan, Dia Tak Mahu’ – Suami Rohana Jalil
Jaga penampilan
Ketika ditemui OhBulan!, Haiza berkata arwah berpesan kepadanya untuk sentiasa menjaga penampilan dan tampil dengan pakaian yang sesuai setiap kali membuat persembahan.
Jelas Haiza, arwah sangat menitikberatkan pemakaian yang digayakan meskipun hanya menghadiri undangan berskala kecil.
Apa yang tidak akan lupakan adalah pesanan yang dia tinggalkan pada saya. Dia selalu pesan untuk jaga pemakaian ketika buat persembahan.
Dia cakap tak kira berapa pun orang bayar kita, meskipun hanya RM500 perlu datang dengan pakaian yang presentable (bersesuaian).
Kak Ana cakap datang buat persembahan betul-betul. Ada juga dia bagi contoh beberapa artis yang datang buat persembahan tapi tak nampak macam nak menyanyi bila pakai baju yang kurang sesuai.
Kalau datang dalam keadaan tidak bersiap, jika dia ada dekat majlis itu dia akan tegur saya.
Haiza berkongsi mengenai perkara itu ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam USJ 22 yang mana tempat arwah dikebumikan kira-kira jam 11.45 pagi Rabu.
Seorang kakak
Dalam pada itu, Haiza yang popular sekitar tahun 90-an menyifatkan arwah sebagai seorang kakak dan ada masanya seorang ibu buatnya.
Saya sudah anggap dia macam kakak dan ibu, walaupun kami berada dalam era muzik yang berbeza. Saya 90-an dan Kak Ana (Rohana) pula 80-an.
Namun tidak kelihatan jurang antara kami sebab dia seorang yang tak lokek nasihat dan ilmu. Dia merupakan antara idola saya dalam industri.
Setiap daripada kawan-kawan arwah mesti ada kenangan tersendiri, sama juga macam saya. Saya pernah pergi bercuti dan berjalan dengan arwah.
Sementara itu, pelantun lagu Dag Dig Dug itu sempat berkongsi beberapa momen sewaktu menziarahi arwah ketika terlantar di hospital beberapa bulan lalu.
Pernah saya pergi melawat dia di hospital, dia panggil saya datang dekat dengan dia. Dia cium saya, saya sempat urut kaki dia ketika itu. Dia bisik dekat saya kata sayang saya sangat, saya pun balas cakap sayang dia juga.
Saya terima panggilan dari Kilafairy, beritahu mama dia nak jumpa kawan-kawan terdekat dan saya salah seorang nama artis yang dia nak jumpa.
Terdahulu, Allahyarhamah Rohana Jalil atau nama sebenarnya Dara Abdul Jalil, 68, telah menghembuskan nafas terakhir di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) kira-kira jam 11.33 malam Selasa.
Rohana yang popular menerusi lagu Rayuanku itu telah dirawat di hospital sejak April lalu disebabkan kebocoran usus dan terpaksa diletakkan di wad pemantauan.
Untuk info, arwah mendirikan rumah tangga dengan Jahangir Khan pada 1984 dan dikuniakan tiga orang cahaya mata termasuk pelakon dan penyanyi, Kilafairy.