berita

‘Hajatnya Itu Dimakbulkan Ilahi’ – Menantu Mangsa Ke-8 COVID-19 Kongsi Kronologi Pemergian Bapa

March 24th, 2020 | by Arini Saleh
Kini Trending

Menyifatkan bapa sebagai seorang yang berjiwa dakwah, menantu kepada mangsa ke-8 COVID-19, Hassan Abdul Wahab, redha dengan pemergian bapa mertuanya itu. Menerusi laman Facebook, Muhammad Amin berterima kasih kepada semua yang mendoakan kesejahteraan bapa.

Dia juga berkongsi kronologi sebenar arwah bapa yang mula dimasukkan ke hospital pada  16 Mac selepas membuat saringan awal bersama rakan-rakan tabligh pada 13 Mac.

Terima kasih semua yang doa

Assalamualaikum wbt & Salam sejahtera buat semua.

Pertamanya saya ini memanjangkan rasa syukur berterima kasih buat seluruh ahli keluarga, sahabat handai dan setiap insan yang mendoakan kebaikan & kesejahteraan arwah abah kami. Baik yang hadir di media sosial mahupun yang datang menziarahi secara peribadi melalui ‘Private Message’. Terima kasih SEMUA.

Pastinya ucapan penghargaan terima kasih juga ditujukan buat setiap kakitangan ‘frontliners’ yang bertungkus lumus membantu urus bukan sahaja arwah abah kami tapi pesakit-pesakit lain juga. Semoga ladang pahala kalian ini akan subur mekar senantiasa untuk dipetik tuai di akhirat sana kelak.

Terima kasih yang tidak akan pernah bernoktah buat kalian semua. TERIMA KASIH semua.

Namun memandangkan berita kematian arwah abah kami telah tersebar di media arus perdana, ingin saya tampil membuat sedikit penjelasan dan kronologi jangkitan virus Covid19 yang menyebabkan kematian arwah abah kami. Ini juga bagi menjawab rasa prihatin yang diterima & rasa bimbang yang disuarakan daripada ahli keluarga, jiran tetangga serta sahabat handai tentang status kesihatan ahli keluarga terdekat arwah yang lain terutamanya kami.

Semoga catatan ini juga nanti mampu menghapus tanggapan kurang senang orang luar yang mungkin timbul serta menenangkan hati setiap orang yang pernah berurusan dengan kami sepanjang tempoh wabak ini menular terutamanya buat pelanggan-pelanggan Kedai Lampu An-Nur Kuantan yang mungkin ada rasa resah dek mengetahui yang saya adalah salah seorang keluarga terdekat mangsa Covid19 ke-8.

Kronologi mangsa ke-8 COVID-19

Untuk makluman semua, Alhamdulillah kami sekeluarga yang berada di Kuantan sekarang TIADA langsung sebarang sentuhan fizikal dengan arwah abah kami sebaik kes ini menular kerana sebaik pulang dari Ijtimak Sri Petaling, arwah berkeputusan untuk terus keluar meneruskan perjalanan dakwahnya di sekitar Kelantan.

Dan ahli keluarga di Kelantan yang pernah sekejap ada ‘direct contact’ dengan arwah telahpun disahkan negatif Covid19. Alhamdulillah.

UPDATE : 20.02.2020 adalah hari terakhir keluarga kami di Kuantan bertemu arwah kerana pada hari tersebut arwah berkeputusan untuk balik ke Kelantan menyambung usaha dakwahnya dan seterusnya ke Ijtimak Sri Petaling.

Berikut adalah kronologi kes arwah abah kami sebagai mangsa Covid19 ke-8 :

13 Mac 2020 | Jumaat

Kami dimaklumkan arwah telah membuat saringan awal bersama rakan2 tabligh yang lain di Markas Dusun Raja.

16 Mac 2020 | Isnin

Arwah dimasukkan ke Hospital Tumpat akibat demam yang berlarutan. Disahkan +ve C19 namun pihak keluarga kami tidak dimaklumkan oleh arwah mungkin untuk mengelak kebimbangan bersarang di hati kami.

18 Mac 2020 | Rabu

Arwah dipindahkan ke unit rawatan rapi Hospital Raja Perempuan Zainab 2(HRPZ). *Pada tarikh ini kami tidak dimaklumkan & masih belum mengetahui status keberadaan arwah.

19 Mac 2020 | Khamis

Sekitar jam kurang lebih 2.00 petang, pihak polis datang ke rumah keluarga di Kelantan memaklum nyuruh wakil keluarga pergi ke unit ICU HRPZ2. Sekitar jam kurang lebih 4.00 petang, baru kami TAHU & JELAS bahawa arwah +ve C19 setelah mendapat panggilan doktor yang meminta kami menghantar seorang wakil ke sana memaklumkan yang kesihatan arwah agak tenat.

20 Mac 2020 | Jumaat

Seharian menunggu khabar terbaru namun tiada kerana pihak kami diarah maklum untuk tidak menghubungi pihak hospital. Hanya pihak hospital sahaja yang akan telefon kemaskini status pesakit pada keluarga.

21 Mac 2020 | Sabtu

Sekitar jam kurang lebih 3.00 pagi mendapat panggilan daripada doktor meminta wakil keluarga hadir segera ke hospital kerana keadaan pesakit sudah kritikal. Di khabar maklum organ2 penting arwah sudah tidak berfungsi.

Sekitar jam kurang lebih 2.00 petang pula, sekali lagi pihak hospital hubungi maklumkan yang keadaan pesakit semakin tenat kritikal untuk diselamatkan. Namun waris belum dibenarkan untuk datang ke hospital lagi.

Sekitar jam kurang lebih 3.30 petang, dihubungi doktor memaklumkan arwah telah selamat kembali ke rahmatullah dan disahkan kematiannya secara rasmi jam 4.00 petang.

Arwah beritahu mahu ‘pergi’ sewaktu keluar dakwah

22 Mac 2020 | Ahad.

Sekitar jam kurang lebih 3.30 pagi arwah abah kami, mangsa C19 ke-8 selamat disemadikan di keheningan malam Israk Mikraj.

Sesungguhnya kami ahli keluarga arwah redha sepenuhnya akan pemergian arwah. Arwah sendiri pernah berkali memberitahu kami yang beliau ingin pergi bertemu Sang Pencipta dalam waktu keluar dakwah di jalan agama. Alhamdulillah, hasrat hajatnya itu disempurna makbulkan oleh Ilahi. Kami percaya arwah pergi dalam keadaan khusnul khatimah apatah lagi meninggal disebabkan wabak yang diberi ganjaran syahid kecil. Insyaa Allah. Aminnn

Berehatlah abah, mudah-mudahan penat dakwah abah di dunia ini telah terangkat sepenuhnya di malam istimewa Israk Mikraj ini dan menjadi saksi kebahagiaan abah di alam nan kekal abadi.

Semoga tenang, senang & lenang di sana.

Much LOVE,
NN

Penafian : foto yang dikongsi ini adalah foto lama yang diambil pada 12.12.2019 yang lalu semasa arwah dimasukkan ke hospital atas sebab sakit yang lain.

Boleh rujuk link di bawah untuk semakan :

https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=10219854901553644&id=1553646498

Dan gambar ditangkap spontan tersenyum bersama ini akan menjadi gambar kenangan terindah buat menantumu ini bersama puteri sulung yang dicinta kasihmu itu.

Sumber : Muhamad Amin bin Lateh

The following two tabs change content below.

SKIP THIS AD ×