berita

Hanya Boleh Membaca Di Usia 14 Tahun, Gadis Disleksia Akhirnya Genggam Ijazah

October 11th, 2019 | by Shahira
Kini Trending

Disleksia adalah sejenis masalah kesukaran yang berlaku dalam proses pembelajaran. Mereka yang mengalami masalah disleksia akan menghadapi kesukaran mengenal huruf, membaca, menulis, mengeja serta mengira. Walau bagaimanapun, tahap kecerdasan dan IQ golongan ini tidak terjejas malah ada juga dalam kalangan mereka yang mempunyai kecerdasan yang lebih tinggi.

Baru-baru ini, kecoh di Twitter mengenai seorang gadis yang mengalami disleksia visual sejak berusia 13 tahun. Namun, kekurangan yang ada pada dirinya itu tidak menghalang gadis ini  dalam pelajaran sehingga telah berjaya menggenggam ijazah sarjana muda.

Mula membaca pada umur 14 tahun

Menerusi tweet tersebut, gadis yang bernama Siti Atikah Mohd Farid dikatakan mengalami masalah disleksia dan hanya mampu membaca buat kali pertama ketika dia berusia 14 tahun.

Atikah juga banyak ketinggalan dari segi pelajaran berbanding rakan-rakannya yang lain kerana masalah yang dihadapinya ini. Namun, gadis ini tidak pernah berputus asa sehinggalah dia kini telah berjaya menggenggam segulung ijazah.

Orang pandang rendah

Menerusi Malaysiakini, gadis ini menceritakan dia sering kali mendapat kecaman dan dipandang rendah oleh orang ramai ketika dia menyambung pelajaran pada peringkat diploma.

Kesukaran saya untuk berkomunikasi mendapat kecaman dari pihak sekeliling apabila saya ingin menyambung pengajian dalam bidang komunikasi dan pengajian media di mana pengajian tersebut memerlukan kemahiran berkomunikasi dengan baik.

Saya sentiasa mengingatkan diri sendiri untuk berusaha melakukan sehabis baik walaupun ramai di sekeliling risau dan tidak yakin bahawa saya juga mampu untuk melakukannya seperti orang lain.

Susah nak faham pembelajaran

Gadis yang berkelulusan Sarjana Muda dalam Komunikasi dan Pengajian Media dengan Kepujian dari Taylor’s University ini mengalami kesukaran semasa sesi pengajaran kerana dia tidak dapat memahami kandungan pelajaran tersebut walaupun telah diulang sebanyak lima kali di dalam kelas.

Saya terpaksa buat-buat faham kerana malu dengan rakan sekelas yang rata-ratanya bijak dan mudah memahami apa yang diajar oleh pensyarah.

Tambahnya lagi, menyedari keadaan itu dia mula mengambil inisiatif lain dengan berjumpa dengan pensyarahnya untuk lebih memahami pembelajaran tersebut dengan bentuk informasi yang mudah dan senang difahami.

Nasib saya baik kerana mempunyai pensyarah yang selalu membantu saya dan kejayaan saya kali ini juga hasil daripada pertolongan mereka yang tidak putus-putus.

Bercita-cita nak jadi wartawan

Minat dan cita-citanya menjadi seorang wartawan merupakan satu titik permulaan kejayaan dan penganugerahan yang diterimanya ini adalah adiah buat ibu bapa yang banyak menyokongnya.

Justeru, Atikah juga turut berkongsi pesanan kepada ibu bapa yang mempunyai anak disleksia supaya terus bersabar dan membimbing anak mereka.

Percaya pada diri sendiri dan jangan mudah cepat terpengaruh dengan kata-kata orang yang tidak percaya kebolehan dan kemampuan kita. Buktikan mereka salah dan kita mampu buat yang terbaik dari yang mereka sangkakan.

Sumber: Twitter, Malaysiakini

SKIP THIS AD ×