
Bekas isteri Ahmad Nubhan iaitu Dr. Afifah Hidayah Ahmad Tawfek berharap dapat bekerjasama dengan penyanyi itu untuk memaklumkan berita perpisahan kepada tiga anak mereka.
Artikel Berkaitan: ‘Tiada Siapa Ingin Perceraian Berlaku’ – Nubhan Masih Boleh Berkawan Baik Dengan Dr. Fie Demi Anak-Anak
Maklum berita cerai

Afifah atau mesra disapa Dr. Fie, 33, berkata, dia enggan menjadi satu-satunya individu yang menyampaikan khabar berat itu tanpa kehadiran bapa mereka.
Saya harap Nubhan dapat beri kerjasama untuk beritahu pada anak-anak fasal berita perpisahan kami.
Buat masa sekarang saya cuma beri alasan yang ayah mereka sibuk bekerja. Saya tak mahu seorang diri jadi watak jahat ketika beritahu berita buruk ini.
Dr. Fie berkata demikian ketika ditemui selepas prosiding pengesahan lafaz cerai di Mahkamah Rendah Syariah Sepang pada Selasa.
Berkongsi perkembangan semasa anak-anak, Dr Fie menjelaskan keadaan mental dan emosi mereka masih stabil setakat ini, tanpa menunjukkan sebarang tanda tertekan akibat kemelut rumah tangga yang berlaku.
Saya ada tanya cikgu di sekolah tentang perkembangan anak-anak. Alhamdulillah tiada perubahan drastik, tiada menangis, tiada kawan ejek, semua baik.
Anak pertama saya rasa sudah boleh faham jika saya beritahu tapi anak kedua pula ada bertanya kenapa Abah tak balik, kenapa tak ikut Abah. Setakat ini saya belum beritahu sebetul-betulnya pada anak.
Terdahulu, Mahkamah Rendah Syariah Sepang pada Selasa mengesahkan Nubhan sah bercerai dengan Dr. Fie selepas meneliti lafaz talak yang dibuat di luar mahkamah.
Hakim Umamuddin Yunus menetapkan bahawa lafaz talak kali kedua yang dilafazkan Nubhan pada 26 Ogos lalu adalah sah mengikut hukum syarak dan undang-undang keluarga Islam.
Untuk rekod, Nubhan dan Dr. Fie yang juga seorang doktor gigi mendirikan rumah tangga pada 29 Ogos 2015.
Hasil perkahwinan mereka dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Aafiya, 8, Ahmad Aaffan, 6, serta Afzan Nayille yang berusia tiga tahun.








