
Harley Owners Group Kuala Lumpur Route 77 (HOGKL) telah meraikan seramai 50 anak-anak yatim dari Pusat Jagaan Kasih Murni menerusi tayangan khas filem animasi tempatan, Ejen Ali The Movie 2.
Artikel Berkaitan: Penuh Emosi! REV Media Group Ceriakan Komuniti Kurang Berkemampuan Dengan Tayangan Istimewa Ejen Ali The Movie 2
Artikel Berkaitan: Ejen Ali The Movie 2 Bakal Gegar Pawagam Singapura Bermula Esok!
HOGKL raikan anak-anak yatim
Konvoi yang disertai 10 penunggang motosikal Harley-Davidson itu bermula dari HDKL Route 77 di Jalan Ampang dan berakhir di GSC Mid Valley Megamall.
Program ini merupakan sebahagian daripada komitmen tanggungjawab sosial korporat (CSR) HOGKL dalam menyumbang kepada kesejahteraan komuniti, khususnya golongan kurang bernasib baik.
Presiden HOGKL, Encik Mohamad Wira, berkata pihaknya berbesar hati dapat menyumbang sedikit kegembiraan kepada anak-anak yatim yang diraikan.
Kita ni nampak je ganas, tapi cerita kartun pun kita layan! Ingat rider Harley tak tengok kartun ke? Kitaorang pun excited sangat nak tengok. Mula-mula ingat cerita budak-budak je… sekali tengok, terus tercenggang. Kalau nak cari salah dalam filem ni, memang tak jumpa. Perfect!
Mohamad turut memuji hasil produksi filem berkenaan yang disifatkan sebagai setanding dengan karya antarabangsa dari segi kualiti animasi, kesan bunyi serta jalan cerita yang menarik.
Suasana dalam pawagam meriah dengan gelak tawa dan keterujaan anak-anak, sementara ahli HOGKL pula menikmati setiap detik tayangan sebagai tanda sokongan kepada industri animasi Malaysia.
Program seperti ini dijangka akan diteruskan oleh HOGKL sebagai usaha berterusan mereka dalam membina hubungan erat dengan masyarakat serta menyemai semangat prihatin dalam kalangan komuniti pemilik motosikal.
Ejen Ali The Movie 2 kini sedang ditayangkan di pawagam seluruh negara dan terus menerima sambutan hangat daripada penonton pelbagai peringkat umur.