berita

‘Hilang Kata-Kata & Tak Boleh Tidur’ – Peniaga Colek Rela Masuk Penjara Daripada Bayar Kompaun RM50k

April 27th, 2021 | by Amirul Asraf
Kini Trending

Selepas viral kisah seorang peniaga burger dikenakan kompaun RM50 ribu kerana beroperasi lebih masa, seorang lagi peniaga colek di Kampung Chekok Tengah, Kelantan, turut dikenakan kompaun membabitkan jumlah yang sama.

Artikel berkaitan: ‘Mana Rakyat Nak Cari Duit?’ – Polis Kelantan Teliti Semula Kes Kompaun RM50k Terhadap Penjual Burger

Hilang kata-kata

Menerusi laporan Harian Metro, Mohd Azizi yang berniaga colek pada sebelah malam sepanjang bulan Ramadan memberitahu bahawa dia terkejut apabila didatangi beberapa orang anggota polis, semalam. Tambahnya, anggota polis tersebut terus menulis kompaun dengan jumlah RM50 ribu bagi kesalahan beroperasi lebih masa.

Saya terkejut sampai hilang kata-kata melihat jumlah yang perlu kami bayar. Sedangkan untuk mendapatkan RM100 setiap malam dengan berniaga colek pun agak sukar kerana hanya berniaga kecil-kecilan di kawasan kampung.

Sebenarnya ketika anggota polis tiba, saya sudah menutup kedai pada 10 malam dan sebahagian lampu juga sudah ditutup. Cuma bahagian dapur sahaja belum ditutup kerana saya dan isteri sedang mengemas ketika itu dan sudah tentu mengambil masa agak lama. Pada masa sama saya sedang menggoreng keropok untuk anak-anak memandangkan mereka belum tidur.

Ujarnya lagi, anggota polis tersebut tidak bertanyakan maklumat lanjut kepadanya dan isteri sebelum memberi kompaun.

Tidak mampu bayar

Di samping itu, Azizi memberitahu dia mempunyai lima orang anak yang masih bersekolah, selain perlu menanggung tiga anak saudara. Oleh itu, dia tidak mampu membayar jumlah kompaun berkenaan.

Jangan kata RM50,000, jika dikurangkan RM10,000 pun saya tidak mampu dan disebabkan tidak mampu serta tiada pilihan lain, saya lebih memilih untuk masuk penjara. Saya agak kecewa kerana ini kali pertama saya dikenakan kompaun tetapi sudah dikenakan RM50,000. Saya bekerja sebagai mekanik selain membantu isteri berniaga mi celup pada hari biasa. Cuma setiap kali Ramadan sejak empat tahun lalu, saya dan isteri berniaga colek pada waktu malam.

Sejak malam kelmarin, saya dan isteri masih buntu sehingga tidak mampu tidur malam memikirkan nasib yang menimpa kami. Saya juga berharap ada pihak yang tampil membantu.

Disebabkan buntu dan tidak tahu apa yang perlu dilakukan, Azizi dipercayai sudah ke Pejabat Kesihatan Daerah untuk membuat rayuan. Terdahulu, Ketua Polis Kelantan memaklumkan, pihaknya bakal mengambil pendekatan untuk meneliti kompaun RM50 ribu yang dikenakan terhadap tiga peniaga termasuk peniaga burger sebelum ini.

Sumber: Harian Metro

The following two tabs change content below.

Amirul Asraf

Senior Content Champion at Rev Media Group
I became a writer to come as close as possible to the heart of the world.

SKIP THIS AD ×