berita

I Can See Your Voice Malaysia Musim Ke 3 Kini Dengan Format Baru, Yusry ‘Dilamar’ Jadi Penyiasat!

February 12th, 2020 | by Sury
Shout Out!

Salah sebuah program yang tak dapat dinafikan telah mendapat tempat ramai penonton Malaysia, diadaptasi daripada program hiburan popular Korea Selatan, I Can See Your Voice Malaysia Musim 3 (ICSVYMY3) bakal kembali menceriakan hujung minggu anda bermula 16 Februari 2020, setiap hari Ahad dari pukul 9.00 hingga 10.30 malam di TV3. Perubahan format pun telah diperkenalkan yang pastinya lebih menarik!

Memandangkan program ini mendapat sambutan yang memberangsangkan, mereka berjaya kumpulkan rating untuk kesemua episod ICSYVMY Musim 2 dengan berjumlah 11.4 juta penonton. Manakala tontonan di platform digital YouTube TV3 Malaysia dan YouTube TV9 Malaysia pula berjaya meraih jumlah tontonan sebanyak 62.5 juta. Memang power!

Shuk & Sean sebagai hos

Seperti yang penonton sedia maklum, keunikan program ini adalah mereka bukan sahaja perlukan penyanyi sebenar bersuara lunak malah membuka peluang kepada mereka yang suara sumbang untuk menjadi penyamar.

Mengekalkan hos dari musim terdahulu, Shuk Sahar dan Sean LJE pastinya membuatkan pentas I Can See Your Voice Malaysia lebih havoc. Jangan terkejut tau, Yusri Abdul Halim telahpun dilamar untuk menyertai Jihan Muse dan Mark Adam sebagai ahli panel penyiasat suara sumbang sepanjang 10 minggu bersiaran berserta 1 episod khas. Setiap episod, seorang artis jemputan dan dua orang penyiasat jemputan akan memeriahkan lagi suasana di studio ICSYVMY.

Perkenalkan format baru dalam permainan!

ICSYVM musim ke 3 ini, memperkenalkan pembaharuan dalam format permainan. Lebih banyak info yang akan diberikan. Namun, adakah ia bertujuan untuk membantu atau lebih mengelirukan artis jemputan dan para ahli panel penyiasat suara sumbang? Anda harus saksikan sendiri untuk mengetahui jawapannya!

Kelainan yang ditunjukkan untuk musim ini adalah pada pusingan pertama, 6 penyanyi misteri diberikan 2 identiti iaitu penyanyi sebenar dan penyamar yang mengandungi bayangan untuk membantu artis jemputan mengenal pasti siapakah penyamar dan 1 penyanyi misteri akan disingkirkan dalam pusingan ini.

Untuk pusingan kedua, 5 penyanyi misteri akan melakukan persembahan secara lip sync. 2 suara berbeza akan diperdengarkan iaitu nyanyian yang merdu dan sumbang menerusi persembahan ini. Artis jemputan perlu mengenal pasti dan menyingkirkan 2 penyanyi misteri di dalam pusingan ini.

Pusingan ketiga pula, maklumat berkaitan dengan 3 penyanyi misteri akan diberikan. Artis jemputan hanya boleh memilih 1 antara 3 pilihan yang diberikan bagi setiap penyanyi misteri. Setiap pilihan hanya boleh digunakan sekali saja, bermakna pilihan yang sama tidak boleh diulangi pada penyanyi misteri seterusnya dalam pusingan ini.

-Lagu yang berkaitan dengan penyanyi misteri

-Maklumat tambahan yang menunjukkan penyanyi misteri ini ialah penyanyi sebenar.

-Penyanyi misteri diperiksa secara dekat oleh artis jemputan dan 1 penyanyi misteri akan disingkirkan.

Pusingan terakhir, artis jemputan perlu memilih pasangan duetnya antara 2 penyanyi misteri dipusingan penentuan ini. Beliau boleh merujuk kepada pendapat ahli – ahli panel penyiasat suara sumbang dan undian penonton studio.

Di penghujung program, sekiranya penyanyi misteri itu seorang penyamar suara sumbang, beliau akan membawa pulang hadiah wang tunai RM 3,000.00 (RINGGIT MALAYSIA TIGA RIBU). Jikalau beliau ialah penyanyi sebenar, penyanyi misteri tersebut akan merebut peluang bersaing dengan penyanyi-penyanyi sebenar yang lain untuk menjadi artis di bawah naungan Monkey Bone dan Warner Music serta layak untuk merakamkan sebuah single.

Bersiaran setiap Ahad

Penangan hebat program ICSYVMY dan kejayaan Mu’izz Zulqarnain iaitu Juara Showcase ICSYVMY Musim 2, yang telah melancarkan sebuah single bertajuk “Andai Nanti” berserta muzik video telah mendorong ramai remaja untuk mencuba nasib dalam musim ketiga. Sambutan luar biasa yang tidak dijangka menyaksikan hampir 3,000 peserta telah hadir dan mendaftar pada hari pertama ketika berlangsungnya sesi uji bakat musim 3 pada bulan Oktober 2019 lalu.

Berhibur dengan pelbagai gelagat dan kejutan dalam ICSYVMY 3 pada setiap hari Ahad, pukul 9.00 malam bermula 16 Februari 2020 di TV3 dan strim dalam definisi tinggi di laman sesawang www.tonton.com.my . Gunakan tanda pagar #ICSYVMY dalam merancakkan perbualan di platform media sosial.

Sumber: TV3 Malaysia