Penyanyi Ibnor Riza memberitahu dia terpaksa menjual tiga kereta idaman miliknya yang dibeli secara tunai bagi menampung kos rawatan kanser limfoma yang dihidapi.
Artikel Berkaitan: Diserang Pelbagai Penyakit Serentak, Ibnor Riza Akui Kerjaya Seni Terganggu – ‘Suara Dah Macam Bunyi Itik’
Tiada aset
Menurut Ibnor, wang simpanannya habis lebih kurang RM80,000 untuk merawat penyakitnya itu.
Saya tiada aset melainkan memiliki empat kereta sebelum ini. Saya nampak itu saja cara untuk mendapatkan duit dengan segera.
Sejak tahun lalu saya tidak boleh lagi keluar mencari rezeki. Jadi saya terpaksa gunakan segala duit simpanan yang ada termasuk menjual tiga kereta bagi menampung kos perubatan dan kelangsungan hidup.
Namun, duit jualan kereta taklah banyak mana. Jadi, saya perlu cari lagi duit untuk kos rawatan kimoterapi di pusat perubatan swasta yang masih berbaki RM12,000.
Tambah Ibnor, selepas menjalani beberapa rawatan kimoterapi di hospital swasta, keadaan kesihatannya beransur pulih sekali gus boleh keluar dan kembali mencari rezeki.
Salah satu faktor sumber pendapatan saya terjejas sejak tahun lalu kerana saya menghadapi masalah suara. Alhamdulillah saya kini sudah boleh kembali menyanyi. Sudah ada beberapa tawaran yang diterima.
Saya sebolehnya tak nak minta simpati mana-mana pihak. Selagi boleh bekerja saya cuba gagahkan diri walaupun keadaan saya sekarang masih belum pulih sepenuhnya.
Saya tidak pernah buat kerja lain selain menyanyi. Saya suka hiburkan orang tapi apabila keadaan sekarang tidak mengizinkan saya harap penganjur faham dan masih nak membantu saya.
Bercerita lebih lanjut, pelantun suara ‘Mimpi Yang Tak Sudah’ ini berkata dia sepatutnya menjalani lima pusingan rawatan kimoterapi tetapi hanya mampu melakukan dua sesi sahaja itupun membabitkan kos RM32,000.
Pada masa yang sama, penyanyi ini belum mendapat sebarang maklum balas selepas memohon bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan pusat zakat.
InsyaAllah mungkin dalam proses. Saya pun tak nak terlalu berharap, kalau boleh bekerja saya nak gagahkan diri.