Leher membengkak, hilang suara, kencing manis, darah tinggi, migrain dan tahap kolesterol kritikal antara masalah kesihatan yang dialami penyanyi, Ibnor Riza. Berikutan masalah tersebut, Ibnor mengakui bahawa kerjaya nyanyiannya terganggu.
Hilang suara
Menurut Ibnor, suaranya hilang dan lehernya menjadi bengkak sejak tiga bulan lalu. Tambahnya, dia sudah merujuk doktor pakar dua minggu lalu dan dimaklumkan ada sel mati yang membentuk nanah di dalamnya.
Saya nak buat pembedahan dan kena ambil darah. Rupa-rupanya saya ada masalah kencing manis, darah tinggi, migrain dan kolesterol tahap kritikal. Namun, saya bersyukur buah pinggang dan jantung okey. Mula-mula bacaan gula dalam darah ialah 22. Sekarang menurun kepada 11.9.
Ujar pelantun suara ‘Mimpi Yang Tak Sudah’ itu lagi, dia terpaksa menolak banyak undangan menyanyi kerana kehilangan suara.
Batuk tiada dan sakit tekak pun tiada tetapi suara dah macam bunyi itik. Jadinya dah tiga bulan saya tiada pendapatan. Memang saya sangat terkesan dengan kos perubatan yang dikeluarkan dan segala perbelanjaan lain. Perkara ini buat semangat saya makin merudum kerana saya adalah ketua keluarga dan semuanya dalam tanggungjawab saya.
Sementara itu, beberapa rakan artis seperti Amelina, Haiza dan Fauziah Ahmad Daud turut berkongsi kisah penderitaan Ibnor di media sosial mereka.
Sumber: Harian Metro