Seorang wanita bergelar ibu dijatuhi hukuman penjara selama 25 tahun selepas didapati bersalah membunuh anak kandungnya dalam satu kejadian pada 2016.
Bius, kurung anak dalam almari
Tertuduh yang dikenali sebagai Veronica Aguilar, 48, bertindak membius Yonatan Daniel Aguilar, 11, sebelum menyoroknya di dalam almari pakaian selama tiga tahun sehingga mengakibatkan mangsa meninggal dunia. Namun tertuduh baru sahaja dijatuhi hukuman selepas 7 tahun mayat mangsa ditemukan.
Seperti yang dilaporkan sebelum ini, berat Yonatan hanya 34 paun ketika ditemui selain tubuh badannya dipenuhi dengan kudis. Pejabat Pemeriksa Perubatan Daerah Los Angeles, melaporkan kanak-kanak itu meninggal dunia akibat kesan daripada pelbagai ubat, mengalami dehidrasi dan pengabaian daripada orang tuanya. Pihak berkuasa juga percaya bahawa mangsa mengalami kekurangan zat makanan selama beberapa tahun.
Sementara itu, adik mangsa turut dipanggil untuk membantu siasatan dan hasil pemerhatian, pihak berkuasa yakin bahawa kanak-kanak itu juga menjadi mangsa penderaan si ibu memandangkan tubuh badannya dilihat agak kurus dan tidak bermaya.
Manakala, bapa tiri mangsa mendakwa langsung tidak mengetahui kejadian yang menimpa mangsa dan tambahnya lagi, dia terus menghubungi 911 selepas mendapati anak tirinya telah meninggal dunia. Menurut lelaki itu lagi, dia menyangka selama ini mangsa tinggal di Mexico bersama ahli keluarganya yang lain.
Sumber: People, Black Enterprise