berita

Ibu Hamil Bakal Berdepan Risiko Kelahiran Pramatang & Terencat Jika Tidak Ambil Asid Folik

February 18th, 2020 | by Amirul Asraf
Kesihatan & Hidup Aktif

Asid folik (atau disebut juga folate) adalah vitamin semulajadi yang mengandungi pelbagai faedah. Ia juga dikenali sebagai vitamin B9 yang sangat diperlukan oleh manusia untuk membina sel-sel baru dalam tubuh dan membaiki DNA yang rosak dalam sel.

Kebiasaannya, ramai wanita mendapat informasi yang salah di mana asid folik akan membantu mereka segera hamil dan ianya merupakan ubat ajaib bagi kesuburan. Namun, beberapa kajian telah membuktikan bahawa asid folik hanya boleh membantu kesuburan dan memberi faedah pada bayi yang berada dalam rahim.

Asid folik bukan ubat penyubur?

Ya benar, asid folik bukanlah ubat yang dicipta untuk merawat kesuburan. Namun, ia sangat diperlukan oleh bayi dalam rahim untuk membina banyak sel-sel baru. Jika si ibu kekurangan asid folik, kesihatan bayi dalam rahim mungkin akan terjejas. Pada tahun 1960 pakar-pakar perubatan mula mendapat bukti dalam kajian mereka bahawa kekurangan asid folik dalam tubuh wanita hamil boleh dikaitkan dengan penyakit akibat kandungan asid folik yang rendah pada bayi mereka.

Oleh itu supplemen asid folik harus diberikan kepada wanita hamil sebaik sahaja disahkan hamil (sama ada melalui ujian air kencing atau pun ultrasound). Namun bagi kehamilan yang tidak dirancangkan, wanita berkenaan dinasihatkan agar mengamalkan pengambilan asid folik setiap hari. Ia harus diteruskan sekurang-kurangnya untuk 12 minggu pertama. Ada beberapa kajian yang menunjukkan supplemen asid folik akan mengurangkan masalah bayi yang dilahirkan dengan kecacatan saraf seperti spina bifida dan neural tube defect.

Begitu juga terdapat beberapa kajian yang menunjukkan pengambilan supplemen asid folik ketika hamil, boleh mengurangkan kebarangkalian untuk mendapat anak yang mempunyai masalah bibir dan lelangit bercelah (lip and palate palate), kecacatan jantung (congenital heart disease), dan risiko lahir pramatang.

Mempunyai risiko yang tinggi

Mengapa pengambilan asid folik harus dimulakan sejak mula disahkan hamil? Ini kerana dalam usia kehamilan 12 minggu pertama, perkembangan otak dan sistem saraf bayi dalam rahem berkembang dengan cepat. Apabila usia kehamilan memasuki trimester kedua, iaitu berusia melebihi 13 minggu, pengambilan asid folik boleh dihentikan. Namun ia tidak menjadi mudarat jika pengambilannya diteruskan. Dos yang perlu diambil bagi wanita biasa ialah 400 microgram (0.4 mg) sehari. Bagi wanita yang hamil pula, dosnya ialah 600–800 micrograms.

Namun dos yang diberikan boleh ditingkatkan, bergantung kepada penilaian doktor yang merawat terutama jika wanita hamil itu mempunyai risiko yang tinggi iaitu :

1. Mengalami masalah kecacatan pada bayi pada kehamilan yang lepas
2. Suami atau wanita itu sendiri mengalami masalah NTD.
3. Wanita itu mengambil ubat sawan (epilepsy)
4. Wanita itu mempunyai penyakit ceoliac disease, diabetes, sickle cell anaemia, atau thalassaemia.

Kekurangan asid folik ketika hamil juga boleh meningkatkan risiko kelahiran pamatang, perkembangan fizikal bayi dalam rahim yang terencat, dan menyebabkan peningkatan kandungan homocysteine dalam darah yang akan menyebabkan keguguran secara tiba-tiba atau kehamilan yang mempunyai komplikasi seperti pendarahan disebabkan oleh placental abruption atau sawan ketika hamil (pre eclampsia). Sekurang-kurangnya wanita yang hamil harus mengambil makanan yang ditambah dengan folic acid atau makanan yang kaya dengan folate bagi mengurangkan kebarangkalian mendapat kecacatan.

Membantu kesuburan wanita dan lelaki

Asid folik juga dapat membantu merawat masalah kesuburan pada lelaki. Ia akan mengurangkan kecacatan kromosom pada sperma lelaki. Sperma yang mengalami kecacatan kromosom apabila disenyawakan dengan telur ovum, akan menghasilkan janin yang tidak dapat hidup lama. Selalunya wanita yang mengalami keguguran di awal kehamilan disebabkan oleh masalah ini. Untuk mengurangkan risiko ini, para suami juga dinasihatkan untuk mengambil folic acid antara 700 – 1 000 mcg sehari.

Folate adalah supplemen penting bagi membantu proses spermatogenesis. Bagi wanita ia membantu dalam kematangan telur ovum, pembentukan placenta dan ketika janin di’tanam’ ke dalam rahem. Oleh itu bagi pasangan yang agak sukar mendapatkan zuriat, perlu mengambil supplemen folic acid sebagai usaha untuk merawat masalah kesuburan.

Ia bukanlah rawatan yang definitif, tetapi ia satu langkah yang membantu. Ia haruslah disertai dengan banyak berdoa kepada Allah. Jika masih tidak berjaya, harus berjumpa dengan pakar kerana mungkin masalah kesuburan yang dihadapi telah menjadi sesuatu yang lebih parah.

Bahaya ambil asid folik dengan kadar yang banyak?

Bahayakah jika mengambil folic acid dengan kadar yang banyak? Kemungkinan untuk mengalami keracunan akibat pengambilan dos folic acid yang berlebihan agak rendah kerana folic acid larut dalam air. Ini bermakna jika kita mengambil folik asid secara berlebihan, ia tidak dapat disimpan di dalam hati (pusat simpanan nutrient), maka ia akan dikeluarkan melalui air kencing.

Oleh itu, dos yang disyorkan untuk pengambilan folic acid yang maksima ialah 1 000 mcg (1mg) bagi lelaki dan wanita dewasa, sementara bagi wanita yang hamil dan wanita yang menyusukan bayi adalah 800 µg (0.8 mg).

Sumber: Dr Zubaidi Hj Ahmad

The following two tabs change content below.

Amirul Asraf

Content Champion at Rev Asia Berhad
I became a writer to come as close as possible to the heart of the world.