
Pelakon muda, Idan Aedan menegaskan bahawa pencapaian berbentuk anugerah bukanlah fokus utama sepanjang penglibatannya dalam dunia seni.
Artikel Berkaitan: Idan Aedan Pernah Terima Gambar Lucah Dari Pengikut Wanita
Artikel Berkaitan: Idan Aedan Pelakon Pertama Malaysia Ke Siri Netflix – ‘Rasa Seperti Mimpi’
‘Anugerah bukanlah benda yang saya kejar’

Ketika ditemui OhBulan!, pemilik nama Muhammad Shahidan Abdullah, 21, memaklumkan bahawa perkara paling penting baginya adalah memberikan sepenuh komitmen dalam setiap projek lakonan yang dijayakan.
Sebagai pelakon memang kita perlu ada target.
Tetapi anugerah bukanlah benda yang saya kejar. Apa yang saya kejar ialah untuk kekalkan kerja, pastikan beri 100 peratus dalam setiap projek, dan jadi manusia yang baik macam Uncle Mike.
Idan berkata demikian ketika ditemui pada majlis sidang media filem Abah Saya Uncle Mike di GSC MidValley Mall pada Selasa.
Sementara itu, Idan meluahkan rasa syukur dan gembira apabila filem lakonannya, The Fox King arahan Woo Ming Jin telah terpilih untuk tayangan perdana di Festival Filem Antarabangsa Toronto (TIFF) ke-50 pada bulan hadapan.
Pertama sekali saya sangat bersyukur. Saya takkan dapat peluang sebegini kalau bukan kerana pengarah kami, Woo Ming Jin.
Tambah Idan, wataknya dalam filem tersebut merupakan antara cabaran terbesar sepanjang kariernya selain menuntut dirinya untuk menjiwai watak dengan pelbagai dimensi emosi.
Filem ini bergenre coming of age dan prosesnya sangat mencabar kerana karakter yang saya bawa penuh variasi tanpa kepastian. Saya sendiri bukan lagi remaja tetapi terpaksa melakonkan watak remaja.
Dian banyak bantu Idan

Dalam pada itu, Idan menyifatkan peluang berlakon bersama bintang terkenal Indonesia, Dian Sastrowardoyo, dalam filem tersebut sebagai pengalaman yang tidak ternilai.
Malah sepanjang proses penggambaran, aktres itu banyak membantunya terutama ketika dia berdepan rasa gementar di set.
Semua kerana kebaikan dia. Saya masih ingat babak pertama dengan Dian, sangat susah untuk saya lakonkan sebab terlalu gementar. Ada dialog yang saya tak tahu macam mana nak sampaikan.
Selepas penggambaran, kami banyak luang masa bersama. Kami makan sama-sama, dia sangat ramah dan terbuka untuk saya tanya apa saja tentang teknik lakonan.
Jawapan dia sangat rendah diri, tak lokek ilmu. Saya rasa sangat bertuah dan bersyukur dapat pengalaman itu.
Apabila ditanya mengenai pujian serta pandangan orang ramai yang meramalkan bakat lakonannya bakal menyerlah, pelakon muda itu menegaskan dirinya mahu terus berpijak di bumi nyata.
Bagi Idan, kejayaan yang dikecapinya setakat ini bukanlah alasan untuk mendabik dada, sebaliknya satu amanah besar yang perlu digalas.
Saya rasa saya bukan seorang saja. Ramai pelakon lain di luar sana yang berbakat. Cuma saya bertuah dapat terlibat dalam produksi ini. Ia juga satu tanggungjawab besar untuk saya.
Keutamaan saya adalah untuk terus kekalkan motivasi, ingat asal usul dan tak lupa orang-orang yang banyak membantu saya sampai ke tahap ini.
Dalam perkembangan lain, Idan kini turut membintangi filem Abah Saya Uncle Mike yang bakal menemui penonton di pawagam pada 28 Ogos ini.
Filem tersebut turut dibintangai oleh Andy Teh, Nadiya Nisaa, Merah Muhaimin, Umar Shakur dan ramai lagi.








