Penyanyi rap muda berbakat besar, Killa Driz melakar satu pencapaian membanggakan apabila berpeluang bekerjasama dengan dua ikon hip hop tempatan, Joe Flizzow dan SonaOne menerusi single terbaharunya berjudul ‘Last Time’.

‘Last Time’

Menurut Killa, lagu berkenaan asalnya bukan dihasilkan untuknya, namun kemudian Joe telah menghadiahkan karya tersebut kepadanya.

Saya masih ingat SonaOne menelefon saya dan menyuruh untuk datang ke pejabat Joe. Apabila saya sampai, ‘beat’ lagu itu sudah pun disiapkan. Joe bertanya sama ada saya sudah siap tulis liriknya atau belum. Kemudian kami tulis bersama dan saya sempurnakan bahagian rapnya.

Asalnya lagu ini bukan saya punya dan tiada dalam perancangan sendiri pun untuk menyanyikannya. Kemudian saya teringat suatu hari itu, Joe cakap mahu hadiahkan saya sebuah lagu.

Menurut artis muda di bawah naungan Def Jam SEA (Asia Tenggara) itu lagi, proses penghasilan lagu ini merupakan proses pembelajaran sekaligus menjadikan pengalaman paling bermakna dalam kerjayanya setakat ini.

Saya berhasil menimba banyak ilmu daripada Joe dan SonaOne. Saksikan sendiri cara mereka bekerja.

Dalam pada itu, SonaOne menjelaskan muzik video (MV) ‘Last Time’ membawa konsep klasik dan mengetengahkan fesyen mengikut peredaran zaman.

Konsep asalnya adalah berdasarkan fesyen merentasi zaman, bermula dari masa lalu. Kemudian saya fikir menarik untuk menampilkan dan menukar pakaian yang berbeza dari pelbagai era.

Kami juga mengekalkan konsep dengan visual yang berlatar belakangkan dinding putih. Kami mengekalkan elemen klasik, sama seperti dahulu ketika TV hanya hitam dan putih.

‘Last Time’ membawa mesej mendalam tentang perjalanan perbandingan masa lalu dan masa kini selain mencerminkan proses kematangan dan penemuan diri.

Sebelum ini, Killa Driz mencuri perhatian menerusi lagu-lagu seperti ‘RAP$TAR’ dan ‘Cuci Mata’. Kini, dia terus mengukuhkan kedudukannya sebagai antara pelapis hip hop tempatan paling menonjol dengan perancangan untuk melancarkan album debut di bawah Def Jam SEA tahun ini.

Lagu ‘Last Time’ kini boleh distrim di semua platform digital bermula 28 Februari 2025, manakala MV rasmi boleh ditonton menerusi saluran YouTube Killa Driz.