Penyanyi dan penulis lagu, Imran Ajmain tampil dengan projek paling berani sepanjang kerjayanya setakat ini dengan melancarkan sebuah album berjudul Sila Ambil Perhatian yang memuatkan 37 buah lagu di dalamnya.

Artikel Berkaitan: Imran Ajmain Kongsi ‘Fun Facts’ Lagu ‘Dikalung Kasihan’ – ‘Patut Jadi Single Pertama Sebuah Album Tapi Batal Selepas Pemergian Arwah Abah’

Artikel Berkaitan: Imran Ajmain Kongsi Tip Diet, Berjaya Turun Berat Sebanyak 33 Kg – ‘Berhenti Ambil Gula Dalam Minuman’

 Sila Ambil Perhatian

Sila Ambil Perhatian merupakan sebuah album remix yang memperkenalkan semula warisan muzik Imran dalam pendekatan baharu yang merentasi pelbagai genre.

Terinspirasi daripada budaya hiphop yang sering menerbitkan album remix, Imran akhirnya merealisasikan impian lamanya untuk memberi nafas baharu kepada katalog lagunya.

Saya memang lama dah nak buat benda ini. 20 tahun kerja dan akhirnya semuanya disatukan dalam satu album remix, memang impian yang jadi kenyataan.

Kita kena balik kepada pengalaman dengar album dari mula sampai habis. Ramai cuma kenal saya dari dua tiga lagu album ini mencabar persepsi itu.

Saya beri peluang kepada pencipta lain untuk garap semula lagu-lagu saya, dan hasilnya sangat mengejutkan.

Album ini merangkumi pengaruh pop, R&B, akustik, elektronik, dan hiphop dengan beberapa versi baharu lagu ikonik Selamat Ulang Tahun Sayang serta dua versi Seribu Tahun yang berbeza iaitu versi demo kasar dan susunan seruling dan tiupan kayu yang menyentuh perasaan oleh Faliq Auri.

Terdapat juga detik-detik peribadi yang mendalam seperti versi akustik Intan Dan Perak, dan Setulus Kasih dalam bentuk demo bersama Ucop (Huzairie Jafar) dari kumpulan punkrock Classmates.

Antara kolaborator yang terlibat ialah Ahmadul Amin, Late Nite Frequency, Firwan Johan, ITSDATBOYINBLVCK, B-Heart, Cheryl Samad, Siti Sairah Tarudin, serta rakaman persembahan langsung dari konsert Malam Seribu Tahun.

Sempena pelancaran album ini, Imran akan mengadakan jelajah akustik intim bertajuk Mesyuarat Penting, bermula dengan tiga persembahan di Perak pada 20, 21 dan 22 Jun, disusuli negeri Terengganu dan kemudian Johor.

Susunan muzik secara langsung diketuai oleh pengarah muzik Danial Afif, menjanjikan interpretasi baharu kepada lagu-lagu lama.