
Penyanyi, Imran Ajmain berkongsi pengalaman kurang indah apabila menyanyikan lagu ‘Dikalung Kasihan’ pada sebuah majlis perkahwinan sehingga membuatnya tidak boleh tidur malam.
Artikel Berkaitan: Imran Ajmain Kongsi ‘Fun Facts’ Lagu ‘Dikalung Kasihan’ – ‘Patut Jadi Single Pertama Sebuah Album Tapi Batal Selepas Pemergian Arwah Abah’
Artikel Berkaitan: Imran Ajmain Kongsi Tip Diet, Berjaya Turun Berat Sebanyak 33 Kg – ‘Berhenti Ambil Gula Dalam Minuman’
Dilarang nyanyi

Diselubungi rasa serba salah, Imran, 44, berkata, lagu tersebut terlalu sarat dengan emosi sedih dan tidak sesuai dipersembahkan dalam majlis persandingan yang seharusnya menjadi hari paling bahagia buat pasangan mempelai.
Saya pernah nyanyi lagu Dikalung Kasihan pada sebuah majlis perkahwinan di Kuching dan perkara itu buat saya tidak boleh tidur malam. Lagu itu tidak sesuai untuk majlis perkahwinan.
Majlis perkahwinan adalah meraikan pasangan mempelai dan perlu doakan yang baik-baik untuk mereka.
Sekeras mana pun tuan rumah minat lagu-lagu saya seperti Dikalung Kasihan, Seribu Tahun Lagi dan Ghaibmu, jika mereka minta saya nyanyi di majlis perkahwinan, saya akan jawab tidak.
Imran berkongsi perkara itu ketika ditemui di majlis pra dengar album Sila Ambil Perhatian yang diadakan di sekitar ibu kota, pada Rabu.
Serba salah

Berkongsi lanjut, penyanyi asal Singapura itu memberitahu, dia pada awalnya berat hati untuk menyampaikan lagu tersebut, namun tetap menyanyikannya disebabkan permintaan tuan rumah.
Insiden itu buat saya rasa serba salah sampai tak boleh nak tidur pada malam kejadian. Saya sudah cakap dengan pengurus saya, kenapa tuan rumah minta lagu Dikalung Kasihan.
Saya sebagai penyanyi yang diundang, sudah pasti saya berikan persembahan yang terbaik, namun tidak sesuai.
Mengambil iktibar daripada peristiwa itu, Imran membulat tekad tidak akan lagi menyanyikan lagu-lagu miliknya yang mempunyai mesej sedih dalam mana-mana majlis perkahwinan.
Saya tidak akan nyanyi lagu yang sedih di majlis perkahwinan. Jika ada sesiapa yang mainkan lagu-lagu sedih atau nyanyi lagu sedih di majlis perkahwinan, itu adalah satu perkara yang bodoh.
Jangan disebabkan minat lagu-lagu sedih, kita mahu mainkan lagu-lagu sedih di majlis perkahwinan. Saya sebagai pengeluar lagu-lagu sedih, saya tidak galakkan.
Biarlah lagu itu beremosi mahupun mengimbau nostalgia lama, tapi jagan mainkan lagu yang boleh merosakkan hari bahagia.
Mengenai album Sila Ambil Perhatian, Imran tampil dengan projek paling berani apabila album itu memuatkan 37 buah lagu yang mana dia memperkenalkan semula warisan muziknya dalam pendekatan baharu yang merentasi pelbagai genre.








