berita

Influenza A Mula Menular Di Sekolah, KPM Minta Nasihat KKM

January 8th, 2020 | by Amirul Asraf
Kesihatan & Hidup Aktif

Wabak influenza A kini semakin merebak di semua institusi pendidikan khususnya di sekolah. Menerusi laporan Guru Pelajar Sekolah (GPS BESTARI), Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sedang meneliti perkembangan terkini wabak tersebut dan mendapati beberapa sekolah sudah ditutup ekoran wabak itu.

Disahkan positif Influenza A

Sekadar gambar hiasan

Menurut satu kenyataan Kementerian Pendidikan Malaysia, mereka sudahpun menerima laporan penutupan beberapa sekolah di Pulau Pinang, Selangor dan beberapa buah negeri lain apabila ada dalam kalangan muridnya disahkan positif influenza A.

Pada masa yang sama, pihak kementerian bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi melakukan pemantauan berterusan di sekolah-sekolah yang terlibat.

KPM juga telah mengingatkan pihak sekolah supaya mematuhi sepenuhnya Standard Operating Procedure (SOP) Pengawalan Penularan Wabak Influenza A yang dikeluarkan oleh KPM. Operasi penutupan sekolah hanya akan dibuat setelah mendapat nasihat daripada pihak KKM.

Pihak sekolah diingatkan juga untuk memantau murid atau warga sekolah yang dijangkiti wabak ini dan sekiranya terdapat tanda-tanda jangkitan, mangsa perlu diasingkan, berhubung dengan ibu bapa untuk dihantar pulang bagi mendapatkan rawatan segera di klinik atau hospital.

Pengetua dan Guru Besar hendaklah sentiasa mewujudkan kesedaran akan penyakit ini kepada semua warga sekolah dengan mengamalkan amalan kebersihan diri yang sempurna.

Peka terhadap kesihatan anak

Sekadar gambar hiasan

Kementerian Pendidikan juga berharap ibu bapa perlu memastikan kesihatan anak-anak berada dalam keadaan yang baik. Jika anak tidak sihat, ibu bapa tidak perlu menghantar anak ke sekolah. Ini kerana kesihatan murid-murid lain mungkin akan terjejas.

Menurut kenyataan itu lagi, kerjasama juga diharap daripada ibu bapa supaya peka terhadap kesihatan anak-anak dan tidak menghantar anak yang sakit ke sekolah. KPM memberi jaminan akan mengambil tindakan yang tegas dan serius bagi memastikan kesihatan murid-murid dan warga sekolah sentiasa terjamin.

Setakat hari ini, Pengarah Jabatan Pendidikan Pulau Pinang, Abdul Rashid Abdul Samad, memberitahu dua buah kelas di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Li Hwa, Butterworth, Pulau Pinang ditutup selama 11 hari bermula hari ini selepas 18 orang murid dijangkiti influenza tersebut.

Sumber: Guru Pelajar Sekolah (GPS BESTARI)

The following two tabs change content below.

Amirul Asraf

Content Champion at Rev Asia Berhad
I became a writer to come as close as possible to the heart of the world.