berita

Inginkan Ketenangan & Lokasi Untuk Beriadah? Ini 5 Tasik Yang Wajib Korang Kunjungi Di KL

November 11th, 2019 | by Amirul Asraf
Travelogue

Kuala Lumpur sememangnya sudah terkenal dengan keindahan dan kemodenannya. Keadaan ini berjaya menjadikan bandaraya KL sebagai salah satu destinasi pelancongan, lebih-lebih lagi dengan pelbagai tawaran yang disediakan, termasuk kemudahan penginapan, pusat membeli- belah dan kawasan rekreasi.

Kali ini, kami ingin berkongsi 5 taman tasik menarik sekitar Kuala Lumpur yang korang patut kunjungi. Hampir setiap hujung minggu ada sahaja aktiviti yang dianjurkan di taman-taman tasik berdekatan Kuala Lumpur ini. Jom baca!

1. Taman Tasik Titiwangsa

Sejak ditutup pada September tahun lalu, kini Taman Tasik Titiwangsa akan dibuka semula kepada pengunjung bermula Januari tahun hadapan. Setakat ini, taman rekreasi ini masih belum dibuka sepenuhnya buat para pengunjung berikutan pihak projek dan klien masih dalam proses memobilisasi pasukan sekuriti, pembersihan dan lain-lain yang berkaitan.

Taman Tasik Titiwangsa yang ditutup sejak 1 September 2018, bagi memberi laluan kerja-kerja pengindahan dan penambahbaikan kini menampilkan pelbagai daya tarikan yang terbaru. Antara tarikan yang dijangka menarik minat korang ialah kolam mandi buat kanak-kanak. Selain kolam mandi, pelbagai kemudahan lain turut disediakan di sana. Antaranya, trek joging, basikal air, berkanu dan lain-lain. Di samping itu, kemudahan menunggang kuda dan trek litar lumba kereta (remote control) turut disediakan.

Buat korang yang tertanya-tanya mengenai gerai makanan, korang usah bimbang kerana di sana korang boleh menikmati pelbagai jenis makanan dan minuman yang dijual. Mengenai ruang parking pula, korang tidak perlu memikirkannya kerana Taman Tasik Titiwangsa menyediakan ruang parking yang sangat luas.

2. Taman Metropolitan Kepong

Taman Metropolitan Kepong antara salah satu lokasi riadah yang menarik selain daripada Taman Tasik Titiwangsa. Taman seluas sekitar 220 ekar ini merupakan antara taman rekreasi terbesar di Kuala Lumpur. Sebab itu, Taman Metropolitan Kepong ini sering dijadikan tempat beriadah warga kota dan penduduk sekitar Selayang, Batu Cave, Jalan Ipoh dan Rawan.

Taman Tasik Metropolitan ini turut dilengkapi trek joging, trek berbasikal, taman permainan kanak-kanak, padang bola sepak, kawasan bersenam dan sebuah padang yang luas untuk permainan layang-layang. Setiap hari, termasuk hujung minggu, taman ini akan sentiasa dipenuhi pengunjung yang mahu melakukan aktiviti beriadah dan bermain layang-layang. Kalau korang tak minat bermain layang-layang, korang boleh menyusur tasik di sini yang sememangnya luas dan indah dipandang.

3. Taman Botani Perdana

Terletak di Taman Warisan Kuala Lumpur, Taman Botani Perdana atau lebih dikenali sebagai Taman Tasik Perdana sebelum ini, antara lokasi yang sering menjadi tarikan para pelancong. Berkeluasan 225 ekar, taman ini sentiasa menjadi sebahagian daripada kawasan hijau di bandar dan mempunyai sejarah lebih satu dekad.

Pada asalnya taman ini dicipta sebagai sebahagian daripada taman rekreasi tetapi ditanam dengan koleksi tumbuh-tumbuhan tropika sebelum ianya dipulihkan dan bertukar menjadi Taman Botani. Taman ini bukan sahaja menyimpan pelbagai koleksi botani tetapi juga ciri mesra yang memberikan pengunjung suasana berada dalam hutan hujan tropika, walaupun di tengah-tengah sebuah metropolis yang sibuk.

Taman Tasik Perdana merupakan tempat yang sangat tenang buat korang yang inginkan ketenangan terutama pada hujung minggu. Tambahan pula, ada satu gerai dihujung Taman Botani Perdana ini menyediakan menu Meehun Sup yang sangat sedap.

4. Taman KLCC Park

Taman KLCC Park ini berkeluasan 50 ekar yang menyediakan landskap berunsur tropika di tengah-tengah bangunan KLCC, di samping menyediakan tempat perlindungan untuk tumbuh-tumbuhan hijau di tengah-tengah pusat bandar itu. Taman awam KLCC Park ini mencerminkan kehijauan tropika, warna-warna cerah dan corak warisan budaya negara.

Taman KLCC Park ini adalah unik dengan tema dan konsep moden terkini. Tambahan ianya direka khas dan mempunyai unsur kehijauan. Walaupun ia tidak besar, Taman ini mempunyai pelbagai kemudahan seperti taman permainan kanak-kanak seluas dua 2 ekar, simfoni air pancut, kolam, trek jogging, tempat perlindungan dan bangku istirehat, laluan pejalan kaki dan arca.

Lebih kurang 1,900 pokok asli dan pokok palma daripada 74 spesies ditanam di Taman KLCC untuk menggalakkan bio-kepelbagaian di dalam kawasan taman. Daripada jumlah ini, kira-kira 40 pokok telah dipelihara dan dipindahkan dari bekas Selangor Turf Club. Satu lagi ciri yang menarik di taman ini ialah Lake Symphony. Terletak di esplanad di luar Suria KLCC. Lake Symphony diprogramkan untuk menyediakan 150 animasi dramatik ajaib dan bercahaya. Kalau ke KLCC Park, bukan sahaja korang boleh membeli belah, korang juga boleh menikmati keindahan air pancut yang mempunyai kesan effect dan persembahan cahaya yang terbaik dan percuma. So, jom singgah ke sana.

5. Taman Tasik Permaisuri

Terletak berdekatan dengan Stadium Bola Sepak Kuala Lumpu, Taman Tasik Permaisuri ini mula dikenali sebagai taman biasa atau bunga-taman pada era 1980-an. Namun sejak itu, ianya berkembang menjadi sebuah taman rekreasi sepenuhnya. Taman ini semakin menjadi tumpuan pada setiap waktu petang dan hujung minggu kerana terdapat ramai pengunjung datang untuk berjoging, melakukan tai-chi dan juga bersantai bersama keluarga.

Taman-taman tasik ini dikelilingi oleh kawasan perumahan dan bangunan yang tinggi dan semakin berkembang seperti Bandar Sri Permaisuri dan Bandar Tun Razak. Taman ini telah diisytiharkan dibuka oleh Raja Permaisuri Tuanku Bainun pada tahun 1989. Korang yang tinggal berhampiran kawasan ini, Tasik Permaisuri merupakan lokasi yang sesuai untuk korang bersantai dan berekreasi.

The following two tabs change content below.

Amirul Asraf

Senior Content Champion at Rev Media Group
I became a writer to come as close as possible to the heart of the world.

SKIP THIS AD ×