berita

‘Ini Bukan Majlis Anugerah Sekolah Menengah ‘ – Giliran Ahmad Idham Masuk ‘Gelanggang’

April 3rd, 2019 | by Amat Larbsib
Isu & Kontroversi

Sebelum ini pelakon Fazura terpalit dakwaan ‘mengheret’ suami, Fattah Amin untuk bersama naik ke pentas sebagai penyampai trofi pada malam anugerah Festival Filem Malaysia Ke-30 (FFM30). Pengarah Hans Isaac menegur dengan menghantar mesej Whatsapp kepada Fazura meluahkan kekecewaan berkenaan penampilan pasangan suami isteri itu.

Bagaimanapun, pihak FINAS telah meminta penjelasan dari Astro terhadap keputusan membenarkan Fazura membawa Fattah Amin ke atas pentas pada malam tersebut.

Tidak pernah berbincang

Menurut laporan Metro, Ketua Pegawai Eksekutif FINAS, Ahmad Idham Ahmad Nadzri mendedahkan pihak Astro tidak pernah berbincang mengenai ‘kejutan’ dari pasangan pelakon ini.

ASTRO tidak pernah berbincang apa-apa dengan FINAS (Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia) perihal kejutan ini. Saya sudah memeriksa dengan jawatankuasa FINAS dan FFM30, tiada persetujuan mengenai Fattah dan Fazura naik bersama untuk menyampaikan anugerah.

Ramai tak berpuas hati

Penampilan Fazura dan Fattah Amin di atas pentas pada malam anugerah FFM30 itu difahamkan adalah salah satu elemen kejutan buat penonton. Bagaimanapun, rata-rata rakan artis kurang bersetuju dengan elemen kejutan sebegitu termasuk pengarah Hans Isaac.

Apatah lagi, kesemua penyampai pada malam anugerah itu terdiri dari mereka yang pernah dinobatkan dalam pelbagai kategori FFM sebelum ini.

Saya juga difahamkan ramai penggiat seni termasuk wartawan tidak bersetuju dengan tindakan menaikkan Fattah, ia seolah-olah tidak menghormati agenda majlis nasional seperti ini.

Pihak produksi tak menghormati FINAS

Ahmad Idham tegas meminta pihak Astro tampil memberi surat tunjuk sebab terhadap tindakan tersebut sekali gus bertanggungjawab ke atas tindakan yang disifatkan tidak wajar berlaku dalam sejarah FFM.

Pihak produksi tidak menghormati FINAS walhal kami yang membayar kos produksi pada malam itu. Ini bukan majlis anugerah sekolah menengah yang boleh diubah sesuka hati.

Sementara itu, Ahmad Idham memohon Datuk Hans Isaac dan Fazura supaya tidak bersengketa sehingga laporan lengkap daripada Astro diterima FINAS.

Sumber: Metro