berita

‘Ini Janji Allah’ – Kronologi Arwah Abdul Bari Lemas Ketika Menyelamat Lima Sekeluarga

February 10th, 2019 | by Arini Saleh
Kini Trending

Mayat Abdul Bari Asyraf Mohd yang hilang selepas menyelamatkan lima sekeluarga terjunam ke muara Sungai Terengganu akhirnya ditemui jam 7.23 pagi hari ini. Mangsa ditemui pada jarak 2.5 kilometer daripada lokasi dikhuatiri lemas.

Kronologi kes

Menerusi laporan Harian Metro, Jumaat lalu, mangsa bersama seorang rakan sedang memancing sebelum melihat sebuah Mitsubishi Triton yang diparkir tiba-tiba terjunam ke dalam Sungai Terengganu di Pulau Warisan, Kuala Terengganu.

Melihat kejadian tersebut mangsa dan beberapa orang lagi terjun untuk menyelamatkan lima penumpang yang berada di dalam kenderaan tersebut.

Nampak Abdul Bari tenggelam timbul – Saksi

Saksi dan juga penyelamat ketika kejadian, Omar Abdul Aziz Othman berkata;

Saya nampak mangsa (Abdul Bari Asyraf) dalam keadaan tenggelam timbul sambil memegang seorang kanak-kanak menyebabkan saya cuba menarik kanak-kanak terbabit daripada pegangannya.

Namun, saya gagal sebelum beralih menyelamatkan dua wanita lain lalu membawa mereka hingga ke tebing.

Selepas menyelamatkan dua wanita dan berenang ke tebing, saya dapati mangsa (Abdul Bari) yang juga penyelamat pertama dalam keadaan tenggelam timbul.

Namun, hanya tiga lelaki berjaya naik ke tebing manakala Abdul Bari dikhuatiri lemas. Manakala lima sekeluarga dilaporkan selamat.

Tidak sedar kenderaan di gear undur – Penguasa Bomba

Ketua Cawangan Pengurusan Operasi dan Balai Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu, Penguasa Bomba Mazimi Mohamad berkata, sebelum kejadian isteri pemilik pikap dipercayai cuba mengalihkan kenderaan tanpa sedar gear berada di posisi mengundur.

Selain bomba, operasi SAR hari ini juga disertai pelbagai agensi seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) membabitkan 64 pegawai dan anggota.

Tambahnya lagi, pihaknya menggunakan kaedah selaman oleh anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Berang bagi mencari mangsa.

‘Jika ditakdirkan mati, biarlah berkubur’

Bapa Allahyarham Abdul Bari yang dilihat tenang, memberitahu reda dengan kejadian yang menimpa namun jika ditakdirkan mati biarlah kematian anaknya itu berkubur.

Dalam keluarga saya, hanya ada dua anak lelaki, manakala enam lagi anak perempuan. Sudah tentu kehilangannya sangat dirasai, apatah lagi pemergiannya berlaku secara mengejut.

Namun saya berbangga kerana kejadian menimpanya berlaku kerana niat murninya mahu menyelamatkan nyawa orang lain dan saya tenang dengan apa yang berlaku.

Tak guna kita menangis meraung kerana apa yang berlaku adalah ketentuan Illahi.

Ini janji Allah

Meskipun sedih, ibu, Masitah Awang berbangga Abdul Bari pergi ketika menyelamatkan nyawa orang lain.

Ini janji Allah. Makcik reda dan bersyukur Allah mendengar doa kami supaya Abdul Bari ditemukan.

Alhamdulillah akhirnya Abdul Bari ditemui. Siang malam kami berdoa dan solat hajat tak putus-putus mendoakan dia. Walaupun dia kembali dalam keadaan tidak bernyawa, kami bersyukur dia ditemui.

Sebagai ibu tipulah kalau saya katakan tak sedih. Perasaan sedih ini susah hendak dibuang. 31 tahun hidup bersamanya, tentulah banyak kenangan bersama.

Tetapi makcik reda kerana ini janji Allah. Abdul Bari hanya pinjaman daripada Allah kepada kami. Makcik berdoa semoga Allah menempatkan Abdul Bari bersama para solihin dan golongan beriman.

Ya Allah, tak dapat makcik bayangkan perasaan sedih ini. Hanya Allah yang tahu.

Menyifatkan anaknya sebagai seorang yang lucu dan disenangi ramai, mereka sekeluarga semestinya akan merindui gelagatnya mengusik dan bergurau.

‘Saya terhutang budi dan nyawa dengan arwah’

Menerusi Buletin TV3, salah seorang penumpang Triton menangis memberitahu sangat terhutang budi dan nyawa dengan arwah. Mereka yang dimasukkan ke wad selepas kejadian hanya mengetahui mengenai arwah selepas dimaklumkan jururawat di hospital.

Sumber : Harian Metro , @kamalrizuan_

The following two tabs change content below.

SKIP THIS AD ×