
Penyanyi dan pelakon, Afieq Shazwan, menyatakan dia dapat mengaitkan watak lakonannya dalam sebuah drama dengan realiti sebenar, iaitu mengenai perasaan takut untuk berumah tangga.
Artikel Berkaitan: [VIDEO] Nampak Sweet Buat Trend Tarian Lagu Raya, Netizen Doa Afieq Shazwan & Wani Kayrie Cepat Kahwin
Artikel Berkaitan: [VIDEO] Afieq Shazwan Setia Menunggu Cinta, Wani Kayrie Belum Terbuka Hati – ‘Doa Yang Baik Saja’
Takut nak kahwin

Ketika ditemui OhBulan! Afieq atau nama lengkapnya Mohammad Shafieq Shazwan Zamros, mengakui terkesan melihat konflik perkahwinan yang berlaku di sekelilingnya terutama apabila melibatkan perpisahan di antara ibu bapa dengan anak-anak.
Bagaimanapun, Afieq tetap mempunyai keinginan untuk memiliki keluarga sendiri dan menyerahkan segalanya pada ketentuan Allah SWT.
Umur saya sudah masuk 29 tahun, kalau tengok kawan-kawan saya yang penyanyi, pelakon, semua sudah berkahwin dan ada yang mempunyai anak.
Boleh dikatakan saya ada sedikit takut bila adanya kes-kes perceraian malah dalam keluarga saya sendiri pun alami perkara itu. Anak dah ramai, tapi bila berpisah rasa tak seronok sebab perpisahan ayah dan ibu dengan cara bercerai hidup.
Cuma saya jadikan ia (watak) sesuatu yang boleh dikaitkan dengan diri.
Tapi tidaklah terlalu takut sangat fasal kahwin ni. Ini semua kehendak Allah. Kalau nak kata jodoh, jodoh juga. Kalau mungkin jodoh tak panjang pun itu semua memang sudah tertulis.
Dalam masa sama, Afieq juga berkongsi tentang ciri-ciri wanita yang dirasakan tidak sepadan dengan dirinya selain mengakui lebih menyukai seseorang yang bekerjaya.
Red flag bagi saya, adalah wanita yang mungkin tak faham kerjaya saya. Kedua adalah wanita yang mengongkong.
Saya kalau boleh saya nak wanita yang ada kerjaya dia sendiri.
Biar sama-sama ada kerjaya supaya masing-masing akan sibuk. Bukanlah bermaksud abaikan rumah tangga, tetapi supaya masing-masing ada benda yang nak fokus.
Kita ada impian tapi pada masa yang sama tahu tanggungjawab sebagai suami dan isteri.
Afieq berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri iQIYI 2026 yang berlangsung di Andaman Grand Hall, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Hubungan dengan Wani Kayrie

Sementara itu, pelantun lagu Lelaki Di Telefon tersebut turut memberikan respon berkenaan hubungannya dengan penyanyi Wani Kayrie selepas mereka muncul dalam sebuah program televisyen.
Saya anggap ia sebagai konten. Tapi disebabkan usikan ini, mungkin ada pihak yang mengambil sebagai sesuatu yang serius. Tapi apa-apa pun, doakan yang baik-baik.
Sejujurnya saya dengan Wani memang dah berkawan lama dan rapat. Pernah berlaku macam-macam konflik dan isu di antara saya dengan dia.
Mungkin ada rezeki, saya akan umumkan jika ada hubungan istimewa atau perkara lain.








