Terdahulu, seorang Instafamous didakwa telah merentas negeri untuk bercuti bersama suami di Johor. Walau bagaimanapun, dia telah tampil bagi memberi keterangan berhubung dakwaan tersebut dan memaklumkan permohonan merentas negeri dibuat atas urusan perniagaan.
Artikel berkaitan: Instafamous Mengaku Rentas Negeri Pergi Honeymoon?
Artikel berkaitan: Polis Panggil Instafamous Beri Keterangan Isu Rentas Negeri
Terbaru, menerusi siaran media Ibu Pejabat Polis Daerah Wangsa Maju, pasangan itu dipercayai telah memberi keterangan palsu berkaitan alasan rentas negeri.
Telah tempah hotel awal
Menurut keterangan dari Ketua Polis Daerah Wangsa Maju iaitu Superintendan Ashari Abu Samah, pasangan itu didapati telah membuat persiapan awal dengan menempah penginapan hotel pada Disember 2020 untuk menyambut ulangtahun perkahwinan pada 17 Mac 2021.
Siasatan telah dijalankan secara menyeluruh setelah wujud keraguan berdasarkan keterangan yang diberikan oleh pasangan tersebut. Hasil siasatan mendapati pasangan ini memberi keterangan palsu berkaitan alasan memohon kebenaran rentas negeri.
Pihak polis menyiasat kes terhadap pasangan suami isteri ini di bawah Seksyen 22(d) Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342). Sekiranya mereka disabitkan kesalahan akan berdepan dengan tindakan kompaun sehingga RM10,000.00.
Sementara itu, pihak polis turut mengingatkan orang ramai agar tidak menyalahgunakan kebenaran rentas negeri yang diberikan untuk urusan perniagaan, kerja atau kecemasan untuk kepentingan peribadi.
Sumber: Info Roadblock JPJ/POLIS