Rentetan isu buli di sekolah berasrama yang menjadi topik hangat dalam media sosial, pemain bola sepak wanita kebangsaan, Intan Serah mendedahkan dia juga pernah menjadi mangsa oleh senior sehingga meninggalkan kesan mendalam dalam hidupnya.

Artikel Berkaitan: Anak Ani Mayuni Nafi An Najwa Pembuli – ‘Saya Tak Sebut Nama Pembuli, Cukuplah Hanya Saya Yang Tahu’

Buli tradisi asrama

Menerusi hantaran di Threads, Intan berkata kebanyakan pelajar yang tinggal di asrama sememangnya pernah berdepan dengan situasi dibuli sama ada secara fizikal atau mental.

Menurut Intan, budaya buli di asrama berlaku disebabkan kitaran lama yang sudah dianggap normal dalam kalangan pelajar senior sehingga terus berulang dari satu generasi ke generasi lain.

Apa yang saya boleh katakan, kebanyakan pelajar yang tinggal di sekolah berasrama memang pernah berdepan dengan buli daripada senior dalam pelbagai bentuk, sama ada secara fizikal mahupun mental.

Saya sendiri pernah melaluinya. Sejujurnya, saya rasa banyak perkara seperti ini berlaku disebabkan satu kitaran yang sudah lama dinormalisasikan.

Ada senior yang membuli juga mungkin pernah menerima layanan sama sebelum ini, jadi apabila mereka berada di kedudukan tertentu, mereka secara tidak sedar mengulangi perkara itu kerana itulah persekitaran yang mereka lalui.

Tambah Intan lagi, budaya hierarki yang terlalu kuat dalam dunia asrama menyebabkan ramai menganggap perbuatan tersebut sekadar tradisi tanpa memikirkan kesan terhadap mangsa.

Dalam budaya asrama suatu ketika dahulu, hierarki memang sangat kuat sehingga ramai menganggap perkara seperti itu sebagai satu ‘tradisi’ berbanding mempersoalkan sama ada sebenarnya memudaratkan atau tidak. Macam cerita kapla itu juga.

Tetapi bagi saya, apabila masuk Tingkatan 4 dan Tingkatan 5, saya memilih cara berbeza untuk menikmati kehidupan sebagai senior.

Saya lebih suka meluangkan masa bersama kawan-kawan dan akhirnya dapat menggunakan telefon tanpa perlu berselindung daripada senior, buat video dubsmash, cover lagu dalam asrama dan rakam video-video lucu sampai boleh dikatakan saya ini macam atlet Instafamous waktu itu.

Pernah dibuli

Dalam masa sama, Intan turut menegaskan kesedaran mengenai isu buli sangat penting supaya budaya tersebut tidak terus diwariskan kepada generasi seterusnya.

Walaupun pernah melalui pengalaman dibuli, Intan berkata dia kini cuba melihat perkara tersebut dari sudut yang lebih matang tanpa cuba menghalalkan apa yang pernah berlaku.

Namun hidup tetap berjalan. Bila sudah dewasa ini, saya mula belajar melihat semua perkara itu daripada sudut pandang yang berbeza juga.

Bukan bermaksud mahu menghalalkan apa yang berlaku, tetapi mungkin semua pengalaman itu sedikit sebanyak membentuk diri saya yang sekarang.

Dalam perkongsian sama, Intan turut mengimbau kembali pengalaman paling menyakitkan yang pernah dilaluinya ketika berada di asrama.

Macam saya sendiri pernah ditendang di dada sampai terhentak pada katil dua tingkat, tambahan pula badan saya kecil sahaja waktu itu.

Banyak lagi perkara lain yang berlaku, tetapi antara yang paling saya tidak sampai hati ialah apabila satu batch kami dipaksa menampar kawan sendiri sebab dia dituduh mencuri telefon bimbit tetapi tidak mengaku. Akhirnya kawan itu terus pindah sekolah.

Sumber: Threads