Seorang wanita mendakwa suaminya enggan pulang ke kampung halamannya hanya kerana bapanya tidak menunaikan solat fardu lima waktu.

Artikel Berkaitan: ‘Solat Lima Waktu & Dhuha Serta Mengaji Setiap Malam’ – Ika Nabella Tegas Pilih Pembantu Rumah

Bapa mentua tak solat

Menerusi perkongsian di Threads, wanita itu berkata dia dan adik-beradik telah berusaha menasihati bapa mereka dengan cara yang baik, namun menyedari sebagai anak mereka juga mempunyai batas dalam menegur.

Saya baru dua tahun berkahwin. Selepas berkahwin, barulah suami saya tahu bahawa ayah saya tidak menunaikan solat.

Sejak itu, dia sering marah kepada saya. Walaupun perkahwinan kami dilangsungkan menggunakan wali hakim, suami tetap enggan pulang ke kampung saya kerana isu tersebut.

Sebagai anak, saya dan adik-beradik lain sudah berusaha sedaya upaya untuk menasihati ayah. Namun, kami juga ada batas kerana dia tetap orang tua kami.

Kami pernah membelikan buku agama, berkongsi perkara berkaitan agama dan cuba mengingatkannya dengan cara yang baik.

Ada ketika ayah berubah dan solat, tetapi selepas itu kembali seperti biasa. Kami tidak mampu untuk memaksa ayah seperti mana kami mendidik anak-anak.

Dalam masa sama, wanita itu turut mendakwa suaminya yang hanya pulang ke kampung pada Hari Raya dalam tempoh singkat, malah kadangkala enggan menjamah makanan yang disediakan keluarga mentua.

Kadangkala dia tidak menjamah makanan di rumah keluarga saya kerana beranggapan tidak boleh makan makanan yang disediakan oleh orang yang tidak solat dan menganggapnya berdosa.

Perkara itu membuatkan saya terasa, namun saya hanya memendam perasaan. Saya tersepit di antara dua sisi, sebagai seorang isteri dan sebagai seorang anak.

Lebih merumitkan keadaan, isu tersebut sering menjadi punca pertengkaran antara mereka sehingga menjejaskan emosi wanita berkenaan.

Setiap kali berlaku pertengkaran, suami akan mengungkit perkara yang sama. Dia mengatakan rumah tangga kami tidak diberkati kerana ayah saya tidak solat.

Hakikatnya, pergaduhan kami sering berpunca daripada sikap masing-masing, terutamanya ego dirinya yang sukar dikawal. Baginya, dia sentiasa betul.

Dalam setiap pergaduhan, saya yang perlu mengalah. Selagi saya tidak mengalah, dia akan mendiamkan diri dan memberikan layanan dingin. Situasi ini sangat memenatkan emosi saya.

Kadangkala, saya terfikir untuk berpisah kerana saya tidak mampu mengubah atau memaksa ayah saya. Demi mengelakkan pergaduhan yang berterusan, itu sahaja jalan yang saya nampak.

Sumber: Threads