Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) mengesahkan akan memanggil seorang lelaki warga tempatan yang mencetuskan kontroversi selepas hadir ke sebuah acara bertaraf antarabangsa dengan imej menyerupai wanita.

JAWI jalankan siasatan lanjut

Memetik laporan Astro Awani, pengarah JAWI iaitu Hanifuddin Roslan memaklumkan bahawa tindakan tersebut diambil bagi membolehkan siasatan terperinci dijalankan. 

Menurut Hanifuddin, pihaknya sudah pun menghubungi individu berkenaan dan pertemuan akan diadakan dalam tempoh terdekat bagi mendapatkan penjelasan lanjut mengenai insiden itu.

Terdahulu,  tular di media sosial sebuah video pendek berdurasi 27 memaparkan seorang lelaki mengenakan gaun yang dianggap mencolok mata sehingga mengundang kecaman hebat daripada warganet.

Susulan itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan mengarahkan JAWI untuk mengambil tindakan tegas mengikut peruntukan undang-undang sedia ada. 

Dr Zulkifli menyifatkan perbuatan tersebut sebagai satu tindakan yang mencabar sensitiviti agama serta melanggar norma budaya masyarakat di negara ini.

Selain siasatan, JAWI turut diarahkan untuk bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bagi menurunkan video tular tersebut daripada platform media sosial bagi mengelakkan ia terus tersebar.

Sumber: Astro Awani