Penyanyi dan pelakon, Siti Nordiana Alias atau lebih dikenali sebagai Nana memfailkan saman ke atas lima individu termasuk dua rakan selebritinya iaitu Lan Solo dan Syura serta isteri Lan, Nur Sheila Hassim, Pegawai Perhubungan Awam Syarikat Rakaman FMC Music Sam Musyadzafar Samin, dan jurusolek artis bebas, Razidah Ahmad Senusi atas dakwaan memfitnahnya di platform media sosial Instagram.
Artikel Berkaitan: ‘Saya Perlu Pertahankan Maruah Apabila Nama Diheret Secara Terbuka’ – Siti Nordiana
Didakwa guna wang dan populariti untuk dihormati
Memetik laporan Bernama, Siti Nordiana mendakwa antara kata-kata fitnah yang dilemparkan itu membawa maksud beliau bukan seorang artis yang bersih dan dihormati orang, seorang yang ego, tidak ingin mendengar nasihat dalam segala perkara, tidak menghormati orang lain dan menggunakan wang serta populariti untuk memastikan dirinya dihormati.
Siaran langsung berdurasi lebih kurang satu jam 28 minit itu telah ditonton oleh pengikut defendan-defendan dan orang ramai yang mengikutinya,” menurut plaintif dalam pernyataan tuntutan itu.
Reputasi terjejas teruk
Selain itu, Siti Nordiana juga mendakwa jumlah tontonan untuk siaran langsung yang dimuat naik ke akaun Youtube dijangka bertambah dan reputasi beliau telah dirosakkan secara serius dalam kalangan orang ramai serta penaja yang mengambil serta melantiknya sebagai model dan duta produk.
Minta ganti rugi am sebanyak RM500,000
Sehubungan itu, Siti Nordiana menuntut kesemua defendan secara berasingan menyiarkan permohonan maaf yang jelas dan tidak bersyarat dalam akhbar, Instagram serta Facebook secara berterusan selama dua bulan atau mana-mana tempoh yang dianggap adil dan wajar oleh mahkamah.
Beliau turut menuntut ganti rugi am sebanyak RM500,000 daripada setiap defendan, ganti rugi khas, teruk dan teladan serta relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.
Peguam Abang Azlan Abang Ariffin, yang mewakili Siti Nordiana berkata, tuntutan saman itu telah diserahkan secara Akuan Terima dan emel kepada kelima-lima defendan hari ini.
Sumber: Bernama